PERSATUAN Badminton Kuala Lumpur (KLBA) masih menaruh harapan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengizinkan mereka menguruskan Arena Badminton DBKL di Cheras, sekali gus menjadikan venue itu sebagai Akademi Badminton KL sepenuhnya.

Presidennya, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos mengakui perjuangan hampir empat tahun itu membuatkan KLBA seolah-olah ‘menumpang di rumah sendiri’.

“Kami masih tidak berumah, masih tiada tempat tinggal, kesian… Kuala Lumpur, ibu kota negara, tetapi tiada gelanggang negeri sendiri,” kata Jahaberdeen, selepas Mesyuarat Agong (AGM) di Arena Badminton DBKL, Cheras.

Justeru, beliau berharap pelantikan Datuk Fadlun Mak Ujud sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu akan membuka ruang untuk menyelesaikan episod panjang yang belum bertemu noktah itu.

“Kami cuma minta aras ini saja, bukan satu bangunan penuh… cukup untuk kami melatih, melahirkan juara, dan menjana pendapatan persatuan,” tegasnya mengingatkan kepentingan asas pembangunan akar umbi.

Katanya, program Jejak Juara dan semua pelan bakat KLBA akan lebih tersusun jika persatuan memiliki ‘rumah’ sendiri yang mampu menjadi kilang melahirkan pemain kebangsaan.

“We have a lot of programs, cuma we don’t have a place,” ulangnya, seolah-olah menggambarkan Kuala Lumpur yang gah tetapi berperang dengan ironi.

KLBA sudah menyiapkan draf surat dan dijangka bertemu Datuk Bandar baharu dalam dua minggu, dengan harapan besar isu itu selesai, sekali gus membolehkan gelanggang kekal menjadi realiti bermula 1 Januari 2026.

Arena Badmintonton DBKL dibangunkan di atas tapak Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras namun KLBA tetap tidak memiliki bangunan mahupun premis sendiri sehingga hari ini.