KEMUNCULAN semula Lee Zii Jia di pentas antarabangsa selepas hampir empat bulan tidak beraksi, menambah warna dan nilai besar kepada badminton Malaysia.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Kenneth Jonassen berkata, beliau gembira melihat Zii Jia beraksi namun, jurulatih dari Denmark itu memilih untuk tidak mengulas siapa yang layak berada dalam skuad Piala Thomas kerana baginya proses pemilihan masih terlalu awal dan banyak faktor perlu dinilai.
Sebagai peminat, Kenneth mengakui Zii Jia adalah bintang sukan ini dan kemunculannya di gelanggang sentiasa memberi aura tersendiri, malah disambut penuh emosi oleh penyokong seperti yang disaksikan di Terbuka Malaysia.
“Sebagai fan, saya sangat gembira melihat dia kembali,” kata Kenneth, sambil menegaskan sebagai jurulatih beliau sekadar memantau dan sentiasa bersedia membantu sekiranya diperlukan.

Mengulas acara berpasukan, Kenneth menegaskan tiada istilah pemain kecil atau besar (bintang) kerana setiap individu memikul tanggungjawab sama untuk menghadiahkan mata kepada pasukan.
“Saya percaya sesiapa yang dipilih, semua perlu main peranan sepanjang 10 hari kejohanan, kadang-kadang bukan superstar yang tentukan perlawanan penentuan,” katanya, kerika ditemui di Akadwmi Badminron Malaysia (ABM).
Kenneth turut menekankan bahawa dalam kejohanan berpasukan, ranking bukan penentu mutlak kerana semangat saling menyokong dan kesediaan berjuang antara satu sama lain adalah kunci kejayaan.
“Dalam acara berpasukan, kita bukan superstar, kita satu pasukan, saya lawan untuk awak dan awak lawan untuk saya,” katanya sambil menegaskan itulah mentaliti yang mahu dibentuk menjelang Piala Thomas di Horsens, Denmark, April depan.