PENGARAH kejurulatihan beregu negara, Rexy Mainaky mengakui jurang pengalaman masih membezakan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dengan pasangan beregu lelaki lain di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Menurut Rexy, walaupun Malaysia memiliki beberapa gandingan berpotensi, tahap kematangan dan keupayaan mengendalikan tekanan perlawanan berintensiti tinggi masih belum seimbang, terutama bagi pasangan muda.
“Jika dilihat, kita memang ada banyak gandingan, namun dari segi pengalaman mengendalikan situasi sukar, Aaron-Wooi Yik masih berada di atas,” kata Rexy, ketika diminta mengulas prestasi pemain beregu negara dalam kempen Terbuka Malaysia yang berakhir semalam.
Beliau menambah, Man Wei Chong-Tee Kai Wun kadang-kadang masih kurang keyakinan terhadap diri sendiri dalam perlawanan penting.

Biarpun berada dalam ranking Top 5 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun masih belum mencapai tahap Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Rexy berkata, kejohanan bertaraf Super 1000 seperti Terbuka Malaysia menghimpunkan hampir kesemua 10 gandingan terbaik dunia dan menuntut konsistensi serta ketahanan mental tinggi.
Jurulatih berusia 57 tahun itu menyanjung persembahan pemain Korea Selatan, Seo Seung Jae, sebagai contoh keupayaan kekal stabil di bawah tekanan.
“Walaupun dalam keadaan tertentu, kita boleh lihat Seo tetap bermain dengan tenang dan stabil, ini pengalaman yang perlu dipelajari pemain muda,” jelas Rexy.
Beliau berharap pasangan muda seperti Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri dan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King memanfaatkan peluang menonton perlawanan untuk belajar bukan sahaja dari segi permainan tetapi juga pengurusan tekanan.