SURUHANJAYA Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) telah memulakan siasatan terhadap prosedur pemberian status kewarganegaraan membabitkan tujuh pemain warisan harimau Malaya, sekali gus mengheret Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan beberapa agensi kerajaan ke dalam radar siasatan.

Menurut laporan media tempatan, fokus siasatan tertumpu kepada proses dokumentasi dan kelulusan kewarganegaraan tujuh pemain itu, dengan EAIC kini meneliti peranan FAM serta agensi di bawah kementerian berkaitan bagi mengenal pasti sebarang kelemahan atau salah laku dalam prosedur yang digunakan.

Perkembangan terbaharu menyaksikan EAIC telah memanggil dua individu daripada FAM, termasuk Setiausaha Agungnya, Noor Azman Rahman, pada awal Januari lalu untuk membantu siasatan. Tindakan itu menandakan siasatan sudah memasuki fasa penting selepas beberapa isu berkaitan dokumen pemain gagal dirungkai sebelum ini.

Selain FAM, beberapa pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut dipanggil bagi memberi keterangan, dengan EAIC memberi tumpuan kepada aspek teknikal melibatkan dokumen perjalanan dan permit pemain warisan tersebut.

Untuk rekod, pada 8 Januari lalu, Jawatankuasa Tatatertib FAM memutuskan bahawa penggantungan Noor Azman telah berakhir, kini beliau kembali menggalas tugas sebagai Setiausaha Agung FAM dan akan bekerjasama rapat bersama AFC dalam menilai secara terperinci terhadap pengurusan atau pentadbiran FAM.

Siasatan EAIC dijangka akan diperluaskan dengan pemanggilan wakil Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam masa terdekat bagi tujuan rakaman percakapan, sekali gus melengkapkan rantaian siasatan melibatkan kewarganegaraan dan pengesahan identiti pemain berkenaan.