Pengendali sementara Terengganu FC, Tengku Hazman Raja Hassan, memuji semangat juang dan karakter yang ditampilkan anak buahnya selepas mencatat keputusan seri 1-1 menentang Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.
Dalam perlawanan itu, skuad Penyu terlebih dahulu berada di hadapan pada separuh masa pertama menerusi jaringan kapten pasukan, Careca, sebelum kapten Selangor, Faisal Halim, muncul penyelamat dengan gol penyamaan pada babak kedua.
Menurut Tengku Hazman, beliau berpuas hati dengan keseluruhan persembahan pasukan, khususnya apabila berdepan lawan berkualiti seperti Selangor, yang disifatkannya sebagai petanda positif buat TFC.
“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan ketika berdepan pasukan sebagus Selangor. Ini menunjukkan kami sebenarnya mempunyai peluang untuk melakar kemenangan,” katanya.
Beliau turut menegaskan perubahan ketara dapat dilihat daripada segi karakter dan kesediaan pemain, selain mengekalkan rentetan keputusan positif pasukan.
“Dari segi karakter dan kesediaan, saya nampak perbezaan yang jelas. Semua pemain memberikan aksi terbaik dan paling penting kami tidak tewas dalam lima perlawanan terakhir termasuk saingan pusingan 16 Piala Malaysia,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Tengku Hazman yang mengambil alih tugas ketua jurulatih selepas Badrul Afzan Razali direhatkan percaya pasukannya mampu menjaringkan lebih banyak gol sekiranya peluang yang dicipta berjaya disudahkan.
“Kami mencipta banyak peluang dalam setiap babak tetapi gagal memanfaatkannya dengan baik,” katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai penyerang baharu, Gervane Kastaneer, yang disifatkan masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri bersama pasukan.
“Kastaneer kelihatan sedikit kaku kerana baru dua hari menyertai latihan. Jadi kami tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kepadanya buat masa ini,” tambahnya.
Keputusan seri itu menyaksikan Terengganu FC kekal di kedudukan kelima Liga Super dengan mengumpul 25 mata selepas 16 perlawanan musim ini.