SKUAD badminton Sukan Komanwel 2022 di Birmingham hanya mensasarkan satu pingat emas selepas bintang perseorangan negara, Lee Zii Jia menarik diri atas alasan peribadi.
Namun bagi bekas pemain badminton legenda negara, Datuk James Selvaraj beliau berpendapat Malaysia sekurang-kurangnya mampu membawa pulang tiga pingat emas kerana mempunyai pemain yang bagus dan sedang berada dalam prestasi terbaik.
“Pasukan badminton kita bukannya tidak mempunyai pemain yang bagus, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sepatutnya meletakkan sasaran pingat emas lebih tinggi dan bukan hanya satu.

James Selvaraj
“Kita mempunyai beregu lelaki dan beregu wanita yang sudah bermain banyak kejohanan antarabangsa dan terbaharu beregu campuran kita berjaya menjuarai Terbuka Taiwan yang memberikan petanda yang baik buat skuad badminton negara,” kata James kepada FLASH SUKAN ketika ditemui pada sidang media meraikan Sambutan Ulang Tahun ke-170 La Salle di Malaysia.
Kemuncak Majlis Sambutan Ulang Tahun itu akan berlaku pada 12 November 2022 ini yang bakal dihadiri DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah Muizzuddin Shah di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.
James yang juga alumni La Salle berbangga dengan apa yang telah dipelajari sepanjang beliau belajar di Institut St.John yang banyak mencorak dirinya sebagai insan dan juga mengajarnya disiplin iaitu salah satu elemen yang penting dalam sukan.