KEM silat negara memulakan hari pertama persaingan dalam Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 dengan langkah meyakinkan selepas gelanggang dibuka di MITC, Ayer Keroh pada Rabu.

Menjadi peserta pertama menjejakkan kaki ke dalam gelanggang, pesilat dari Keningau, Sabah Luqman Laji (gambar) mempamerkan ketenangan ketika melancarkan jurus-jurusnya yang diakhiri dengan sorakan penyokong.

Pemenang pingat gangsa Sukan SEA Hanoi pada Mei lalu, Luqman mengutip 9.940 mata bagi menewaskan Muhd. Ali Saifullah Abdullah Md. Suhaimi dari Brunei bagi memastikan slot di peringkat seterusnya.

Namun, peserta terbaik peringkat saringan hari ini menjadi milik jaguh Singapura Muhammad Iqbal Abdul Rahman yang mengumpul 9.950 mata, menewaskan Belouad Ayoub dari Algeria yang mengumpul 9.865 mata.

Mohd Shukrillah

Untuk rekod, Muhammad Iqbal pernah menewaskan Luqman dalam separuh akhir Kejuaraan Pencak Silat Asia Tenggara pada Februari lalu di Singapura.

Sementara itu, dalam kategori kreatif solo, Shukrillah Badrillah menafikan saingan wakil Vietnam Tran Duc Danh selepas kutipan mata sebanyak 9.895 berbanding 9.890 sekaligus mengesahkan tempat di separuh akhir.

Pesilat dari Vietnam, Vuong Thi Binh pula mengutip 9.930 mata untuk menyingkirkan cabaran Thitirat Sae-Oung dari Thailand yang meraih 9.915 mata dalam kategori Puteri.

Sesi bagi silat seni terus dikuasai kuasa tradisi pencak silat apabila Kadek Nyeneng dan Putu Anom dari Indonesia turut mara dalam acara ganda Putra setelah mengutip 9.940 mata untuk mengalahkan Abhishek Kumar Ghautam dan Suraj Sharma dari India yang mengumpul 9.265 mata.

Hampir 40 negara bersaing dalam kejuaraan yang akan berakhir Ahad ini termasuk beberapa negara peserta baharu seperti Amerika Syarikat, Algeria dan Jerman.