BELGIUM berjaya mencipta kebangkitan selepas ketinggalan dua gol untuk menewaskan Senegal 3–2 menerusi masa tambahan, sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan 16 teratas Piala Dunia FIFA 2026.

Perlawanan sengit pusingan 32 teratas ini menyaksikan The Lions of Teranga terlebih dahulu menguasai perlawanan dengan membuka tirai jaringan pada minit ke-24 menerusi Habib Diarra yang menyambar bola muntah.

Pada awal babak kedua, Ismaïla Sarr mencuri tumpuan apabila mengawal kemas hantaran jauh Moussa Niakhaté menggunakan dada sebelum melepaskan rembatan padu menewaskan Thibaut Courtois pada minit ke-51.

Gol tersebut bukan sahaja meletakkan Senegal selesa di hadapan, malah meletakkan Sarr sebagai penjaring terbanyak Senegal sepanjang zaman di pentas Piala Dunia.

Bagaimanapun, impian Senegal untuk mara berkecai di penghujung babak perlawanan apabila The Red Devils mula mempamerkan watak sebenar mereka.

Kebangkitan skuad kendalian Rudi Garcia bermula pada minit ke-86 apabila pemain gantian, Romelu Lukaku bijak menyudahkan hantaran lintang rendah Thomas Meunier untuk merapatkan jurang.

Tiga minit kemudian, The Red Devils sekali lagi menunjukkan taring mereka selepas Youri Tielemans menanduk masuk hantaran Leandro Trossard pada minit ke-89, mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Drama dalam perlawanan ini memuncak pada saat-saat akhir masa tambahan selepas pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada Belgium selepas semakan VAR mendapati Lamine Camara melakukan kekasaran di dalam kotak penalti.

Youri Tielemans yang menggalas tanggungjawab besar itu kekal tenang untuk menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-125 sekali gus merekodkan gol kemenangan paling lewat dalam sejarah kejohanan Piala Dunia.

Keputusan 3–2 kekal sehingga wisel penamat, memastikan Belgium meneruskan kempen ke pusingan seterusnya, manakala Senegal terpaksa akur meninggalkan kejohanan dengan penuh kekecewaan.

Menerusi kemenangan dramatik ini, Belgium dijadualkan bertembung tuan rumah bersama Amerika Syarikat di pusingan 16 nanti.

Kredit Gambar – Alex Grimm / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP