PASUKAN Jepun Bawah 23 Tahun muncul antara pasukan paling mencuri tumpuan di Piala Asia AFC B-23 2026 apabila membina skuad muda sepenuhnya berasaskan liga tempatan sebelum membalas kepercayaan itu dengan prestasi sempurna di atas padang.

Skuad Samurai Biru muda ini dibentuk hampir sepenuhnya di Jepun dengan 15 pemain berasal dari J-League dan hanya seorang beraksi secara pinjaman di Eropah, namun mereka membawa ratusan perlawanan profesional dalam kolektif pasukan, membuktikan kualiti liga domestik sebagai asas pembangunan pemain.

Dengan purata umur hanya 19.4 tahun, Jepun muncul antara skuad termuda kejohanan, tetapi kematangan permainan mereka menafikan usia sebagai ukuran sebenar kemampuan di pentas Asia.

Lebih menarik, tujuh pemain dalam skuad ini datang melalui laluan universiti, satu pendekatan yang jarang dilihat di peringkat elit termasuk Kaito Koizumi, Shusuke Furuya, Masataka Kobayashi, Tariqkani Okabe, Brian Nwadike, Haruta Kume dan Kosei Ogura, menggambarkan sistem pembangunan Jepun yang inklusif dan berlapis.

Pemilihan 15 pemain daripada 12 kelab J-League yang berbeza pula mencerminkan kekayaan bakat tempatan serta keseragaman falsafah pembangunan di seluruh ekosistem bola sepak negara itu.

Apa yang benar-benar mengukuhkan reputasi Jepun adalah aksi di atas padang apabila mereka menjaringkan 10 gol, terbanyak dalam kejohanan tanpa bolos satu jaringan pun, statistik yang mengangkat mereka sebagai pasukan paling seimbang setakat ini.

Ini bukti bahawa pelaburan jangka panjang dalam pembangunan pemain muda akhirnya membuahkan hasil, menjadi gambaran tepat terhadap kebangkitan mereka.

Persoalannya kini, apabila Jepun membuktikan kejayaan boleh dibina melalui liga tempatan, universiti dan kepercayaan kepada pemain muda di manakah hala tuju bola sepak Malaysia, dan siapa yang sebenarnya bertanggungjawab membentuk sistem seumpama ini?