REGU ketiga menjadi antara aspek yang perlu segera diperkemaskan skuad sepak takraw negara selepas kegagalan di Piala Raja Thai 2026 minggu lalu mendedahkan beberapa kelemahan yang boleh menjejaskan persiapan menghadapi Sukan Asia.

Ketua jurulatih skuad negara, Ahmad Jais Baharun berkata, tumpuan utama kini adalah memperbaiki lambungan bola apit kanan kepada tekong bagi memastikan serangan dapat dilakukan dengan lebih konsisten.

Menurutnya, kelemahan itu perlu diatasi kerana regu negara tidak boleh terlalu bergantung kepada corak permainan bertahan ketika berdepan lawan yang memiliki servis dan serangan berkualiti.

“Untuk Sukan Asia, kita perlu lebih fokus, lebih-lebih lagi melalui regu ketiga daripada segi balingan atau lambungan bola apit kanan kepada tekong.

“Kita kena perkemas dan perbaiki dari semasa ke semasa supaya tekong betul-betul mendapat lambungan bola mengikut kehendak mereka dan mampu memberikan serangan yang konsisten,” katanya.

Ahmad Jais berkata, kemampuan menghasilkan serangan secara berterusan penting bagi memastikan Malaysia mampu memberi tekanan kepada lawan dan tidak mengulangi kesilapan yang berlaku ketika bertemu Filipina.

Katanya, penambahbaikan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan regu ketiga lebih mantap dan bersedia menghadapi cabaran di pentas Sukan Asia.