PASUKAN hoki lelaki Malaysia Bawah 20 Tahun (B20), Young Tigers, secara rasmi menamatkan siri Jelajah India selepas mengharungi lapan perlawanan persahabatan sebagai persiapan terakhir menjelang Kejohanan Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China yang akan bermula 4 September ini.
Sepanjang jelajah tersebut, Young Tigers merekodkan dua kemenangan, satu keputusan seri dan lima kekalahan.
Skuad kendalian Malaysia B20 membuka kempen jelajah dengan dua kemenangan meyakinkan ke atas SAI, masing-masing menerusi keputusan 6-2 dan 8-0.
Bagaimanapun, Young Tigers tercabar apabila mereka berdepan pasukan India B20 di mana pasukan negara tewas kelima-lima perlawanan menentang mereka.
Meskipun begitu, Young Tigers menutup tirai Jelajah India dengan keputusan seri 2-2 menentang SAI.
Walaupun keputusan keseluruhan menyaksikan lebih banyak kekalahan, lapan aksi persahabatan itu memberikan pendedahan penting kepada barisan pemain muda negara.
Young Tigers kini akan kembali ke tanah air untuk meneruskan fasa terakhir latihan di Kuala Lumpur bermula Khamis, 20 Ogos, sebelum berangkat ke Moqi, China bagi menyertai Kejohanan Piala Remaja Asia 2026 pada September.
Jelajah India itu diharap menjadi platform penting buat barisan pemain Malaysia B20 untuk memperkemaskan kelemahan, meningkatkan keserasian pasukan serta membina keyakinan menjelang cabaran lebih besar dalam usaha memburu keputusan positif di pentas Asia.