CABARAN Piala Dunia Hoki Remaja 2025 FIH di Tamil Nadu, India hujung bulan ini bakal dibarisi pemain muda yang dilahirkan daripada generasi pelapis yang digilap dari program pembangunan akar umbi.

Ketua jurulatih skuad remaja, Nor Saiful Zaini, berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) memainkan peranan penting dalam membuka ruang kemajuan pemain muda dan bukan sekadar menyokong keperluan asas pasukan.

“Sebahagian besar pemain datangnya daripada program pembangunan yang menerima sokongan langsung daripada TNB.

“Nyata program pembangunan hoki negara terus menjadi antara nadi penting kemajuan sukan ini, khususnya dalam melahirkan generasi pelapis yang mampu bersaing di peringkat tertinggi.

“Dalam dunia sukan, bantuan dan dorongan seperti yang TNB lakukan amat diperlukan, dan kita tahu mereka tidak pernah berhenti menyokong hoki negara,” katanya.

Pemain Young Tigers ketika kejohanan Piala Sultan Johor 2025 di bawah kendalian Ketua jurulatih skuad remaja, Nor Saiful Zaini.

Katanya lagi, tanpa sokongan besar seumpama ini, sukar buat sukan ini membawa pemain ke luar negara terutama dalam memberi generasi pelapis pendedahan melalui program akar umbi.

“Tanpa bantuan sedemikian, perjalanan pembangunan pemain muda pasti berdepan kekangan.

“Oleh itu program akar umbi ini menjadi antara pemacu utama yang membolehkan pelapis negara bersaing di pentas antarabangsa, terutama dalam menyediakan peluang pendedahan awal kepada pemain baharu.

“Pengalaman sedemikian sering menjadi perbezaan antara pemain yang mampu berkembang dengan cepat dengan mereka yang memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri.

“Program pembangunan yang tersusun bukan sahaja memerlukan kepakaran teknikal, tetapi juga sokongan dalam penyediaan fasiliti dan peluang bagi memastikan setiap peringkat pembangunan dapat dilaksanakan secara konsisten,” katanya.

Ketua jurulatih skuad remaja, Nor Saiful Zaini.

Nor Saiful menambah, tanpa asas sokongan yang kukuh, beberapa aspek perancangan pembangunan atlet berkemungkinan tidak dapat dilaksanakan secara optimum.

“TNB menerusi pembangunan Thunderbolts
banyak membantu kami dari segi pembangunan hoki agar sukan ini menjadi lebih baik.

“Program Thunderbolts dilihat sebagai platform paling berkesan dalam menyusun laluan pembangunan bakat remaja, membentuk pemain yang bersedia dari segi kemahiran teknikal, kecergasan dan pemahaman taktikal sebelum melangkah ke peringkat lebih tinggi.

“Selain memberi fokus kepada lapisan muda, komitmen TNB terhadap pasukan senior turut memperkukuh ekosistem hoki secara keseluruhan,” katanya.