Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan cabaran sengit dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) 2026-2027 apabila empat kelab dari Asia dijadualkan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Undian ACLE 2026-2027 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu menyaksikan JDT selaku wakil tunggal Malaysia perlu mengharungi lapan perlawanan dalam format liga sepusingan, dengan aksi dijadualkan bermula September depan.
Daripada keseluruhan lapan perlawanan itu, empat akan berlangsung di laman sendiri dan antara yang paling dinantikan pastinya pertemuan menentang Buriram United dari Thailand.
Pertembungan kedua-dua kelab itu mempunyai nilai tersendiri selepas Buriram United mencatat kemenangan 3-1 ke atas JDT di Stadium Sultan Ibrahim ketika pertemuan terakhir mereka pada Mei lalu dalam saingan ACC Shopee Cup.
Justeru, aksi di SSI nanti bakal menjadi peluang buat Harimau Selatan untuk bangkit dan memburu keputusan lebih baik apabila kedua-dua pasukan kembali bertemu di pentas Asia.
Selain Buriram United, tiga lagi pasukan yang akan mengunjungi SSI ialah Daejeon Hana Citizen dari Korea Selatan, Port FC dari Thailand dan Cong An Ha Noi dari Vietnam.
JDT juga perlu bersedia untuk menghadapi cabaran di tempat lawan apabila empat lagi perlawanan bakal berlangsung di luar Malaysia.
Skuad Harimau Selatan dijadualkan bertandang ke Korea Selatan bagi menentang Jeonbuk Hyundai dan Pohang Steelers, sebelum berdepan Newcastle Jets di Australia.
Satu lagi aksi di tempat lawan menyaksikan JDT perlu berkunjung ke Thailand untuk bertemu Ratchaburi.
Dengan lapan perlawanan menentang kelab-kelab berpengalaman dari rantau Asia, JDT kini mempunyai misi besar untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam saingan elit benua itu dan memburu tiket ke pusingan kalah mati ACLE 2026-2027.