Kredit Gambar: MSN
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil langkah memperkukuh pembangunan sukan angkat berat negara menerusi peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta, susulan pencapaian cemerlang kontinjen Malaysia pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, berkata kejayaan skuad angkat berat negara yang menyumbang tujuh pingat – lima emas, satu perak dan satu gangsa – membuktikan sukan berkenaan mempunyai potensi besar untuk terus berkembang di peringkat antarabangsa.
Peruntukan tambahan itu dipersetujui selepas permohonan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) pada 13 Ogos lalu.
Susulan perbincangan lanjut antara MSN dan PABM, beberapa bentuk bantuan serta penambahbaikan akan dilaksanakan bagi memperkukuh pembangunan sukan angkat berat, khususnya dari peringkat akar umbi.
Antara langkah yang dipersetujui ialah menaik taraf kemudahan di Pusat Latihan Angkat Berat Rompin, Pahang, dengan sasaran menjadikannya sebagai Pusat Kecemerlangan Sukan Angkat Berat Kebangsaan.
KBS dan MSN turut bersetuju untuk melantik jurulatih sepenuh masa di pusat latihan berkenaan dengan tumpuan khusus terhadap pembangunan atlet wanita.
Selain itu, kuota atlet angkat berat di bawah Program Pelapis MSN akan ditambah selepas temasya SUKMA Selangor 2026, terutama bagi atlet yang dikenal pasti mempunyai potensi tinggi serta memenuhi piawaian pemilihan ditetapkan.
Skuad angkat berat negara juga bakal mendapat khidmat pegawai strength & conditioning sepenuh masa bagi memperkemas aspek pembangunan fizikal, prestasi serta persediaan atlet.
Dalam usaha memperluas pembangunan bakat, perhatian khusus turut diberikan kepada atlet wanita, merangkumi aspek pencarian bakat, pembangunan jangka panjang dan penyediaan atlet berprestasi tinggi.
Pada peringkat akar umbi, KBS dan MSN akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkukuh pembangunan angkat berat di sekolah, termasuk melalui soal penganjuran kejohanan serta usaha menjadikan angkat berat sebagai antara sukan sekolah di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
PABM juga akan menyelaras Kejohanan Bakat Angkat Berat melibatkan atlet negeri, selain usaha memperkasakan pembangunan jurulatih dan pegawai teknikal menerusi penambahan kursus bagi meningkatkan jumlah serta kompetensi tenaga kejurulatihan.
Menurut KBS, pencapaian di Glasgow 2026 bukan sekadar satu kejayaan semasa, sebaliknya menjadi asas kepada pelaburan jangka panjang untuk membina ekosistem sukan angkat berat negara yang lebih kukuh.
Komitmen itu diharap dapat melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi sekali gus membuka ruang kepada Malaysia untuk terus mencipta kejayaan dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.