Kredit Gambar: FIH

KETUA jurulatih The Speedy Tigers, Brendon Carolan amat berbangga dengan kejayaan keputusan mengikat juara Piala Negara-Negara 2025-2026 itu kerana pengorbanan anak-anak buahnya sedikit sebanyak mula membuahkan hasil.
 
“Saya sangat bangga dengan kumpulan ini. Mereka telah bekerja sangat keras, menghabiskan masa yang lama berjauhan dengan keluarga dan banyak berkorban untuk negara.
 
“Ia adalah prestasi yang baik. Perancis telah memberikan saingan sengit kepada beberapa pasukan besar, hampir mencatat keputusan positif menentang Belgium. Kami hanya cuba untuk membanggakan para penyokong Malaysia,” katanya.
 
Speedy Tigers membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi gol padang Shello Silverius sebelum Perancis mendahului 2-1 hasil pukulan sudut penalty Victor Charlet dan gol padang Louis Haertelmeyer pada minit ke-19 serta 37.
 
Bagaimanapun, skuad negara di ranking ke-14 dunia, bangkit dengan dua gol untuk kembali mendahului 3-2 menerusi gol peribadi kedua Shello Silverius dan penyudah tajam Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-45 serta 57.
 
Hasrat Speedy Tigers untuk meraih kemenangan tidak berjaya selepas Timothee Clement meledak gol penyamaan buat Perancis pada minit ke-59 sebelum video referral membatalkan jaringan keempat Malaysia daripada Mohd Fitri Saari.
 
“Apabila bermain menentang pasukan yang berada dalam kedudukan lima terbaik dunia, kami hanya perlu menjadi lebih baik.
 
“Anda tidak boleh leka selepas tunjukkan prestasi yang baik hari ini dan kemudian perlahankan rentak dalam perlawanan seterusnya. Anda boleh dihukum menentang pasukan berkualiti seperti Belgium nanti,” tambah Carolan.
 
Keputusan seri itu sekurang-kurangnya meningkatkan motivasi Speedy Tigers yang akan bermain aksi terakhir Kumpulan B menentang tuan rumah, Belgium pada 20 Jun ini.