Kredit Gambar: MSNJ

Jaguh pecut Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee menutup kempen olahraga Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 dengan penuh bergaya apabila meraih emas ketiga peribadi selain memecahkan rekod kejohanan dalam acara 200 meter (m) lelaki di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.

Pelari kebangsaaan berusia 21 tahun itu mencatat masa 20.85 saat (s) untuk mengungguli saingan 200m sekali gus menambah koleksi emas selepas terlebih dahulu memenangi acara 100m dan membantu kuartet 4x100m Johor meraih emas dengan rekod baharu kejohanan.

Lebih mengagumkan, catatan 20.85s itu berjaya memadam rekod Sukma 21.01s yang sebelum ini dipegang wakil Selangor, Muhammad Aqil Yasmin sejak edisi Sukma Perak 2018.

Danish turut menghampiri rekod kebangsaan 20.33s miliknya sendiri apabila hanya dipisahkan 0.52 saat daripada catatan tersebut.

Kejayaan itu juga menyaksikan Danish mencatat masa bawah 21 saat buat kali ketiga dalam acara 200m, sekali gus melengkapkan sasaran tiga emas yang diletakkan dalam kempen olahraga kali ini.

“Selepas melalui semua perlumbaan sejak hari pertama sehingga hari ini, Alhamdulillah sahaja yang saya mampu katakan. Saya berjaya mengharungi acara 100m, 4x100m dan 200m dengan baik,” katanya.

Tempat kedua menjadi milik pelari Kedah, Muhammad Umaira Subri selepas merekodkan 21.23s, manakala Muhamad Airiel Iskandar Rusli dari Johor meraih gangsa dengan catatan 21.35s.

Prestasi konsisten Danish sepanjang saingan olahraga turut meletakkan namanya sebagai antara calon untuk merebut anugerah Olahragawan Sukma Selangor 2026.

Bagaimanapun, pelari Johor itu memilih untuk tidak terlalu memikirkan mengenai pengiktirafan berkenaan dan sebaliknya berpuas hati kerana berjaya mencapai sasaran dalam setiap acara yang disertainya.