BEKAS jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah telah meninggal dunia akibat serangan strok di Alor Setar pada Khamis.

Pemergian legenda bola sepak yang juga bekas pemain kebangsaan era 1970-an itu telah disahkan sendiri oleh anak Allahyarham, Firdaus Zainuddin di laman Facebook peribadi beliau.

“Assalamualaikum W.B.T kepada yang mengenali dan membaca (berita pemergian Allahyarham), mohon sedekahkan al-Fatihah buat bapa saya Mohd Azraai Khor, yang telah meninggal dunia sebentar tadi. Mohon sama-sama kita berdoa agar Allahyarhuma ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman. Amin,” ujar anaknya.

Dalam masa yang sama, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Allahyarham Azraai Khor yang telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 71 tahun.

“Bekas pemain kebangsaan, Mohd Azraai Khor Abdullah telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 71 tahun, sebentar tadi selepas diserang strok.

“Bekas pemain Kedah era 70-an itu yang nama asalnya Khor Sek Leng telah menyarung jersi skuad kebangsaan dari 1975 hingga 1978 dengan menganggotai skuad ke Piala Raja Thai, Pra-Olimpik, Pestabola Merdeka, Piala Asia 1976 di Tehran dan Sukan Asia 1978 di Bangkok.

“Sebagai jurulatih pula, Allahyarham membawa Kedah muncul juara double treble pada 2007 dan 2008, selain turut pernah membimbing beberapa pasukan tempatan lain seperti Negeri Sembilan dan Perak serta menjadi ketua jurulatih skuad Harimau Muda pada 2010.

“Semoga Allah SWT merahmati rohnya, mengampuni segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan para solehin,” menurut kenyataan FAM.

Sebagai rekod, Azraai bukan sahaja telah menabur jasa dan keringatnya di Kedah FC, namun, Allahyarham juga pernah mengendalikan beberapa kelab tempatan lain seperti Terengganu FC, Perak FC, Negeri Sembilan, Sabah FC dan Kelantan FC.

Tetapi, momen kendaliannya bersama Kedah telah menjadi ingatan buat segenap penyokong bola sepak Kedah apabila beliau berjaya mencipta sejarah sebagai jurulatih pertama membawa pasukan tempatan meraih kejuaraan ‘double treble’ bagi musim 2006/2007 dan 2007/2008.