Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya dipisahkan satu perlawanan daripada mencipta sejarah baharu apabila berpeluang merekodkan rekod tanpa kalah terpanjang dalam sejarah bola sepak dunia.
Skuad Harimau Selatan perlu sekurang-kurangnya mengelak kekalahan ketika menentang Kuching City FC dalam aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini.
Pertemuan yang dijadualkan berlangsung pada jam 9 malam itu bukan sahaja menjadi perebutan trofi pembukaan Liga Super 2026/27, malah boleh menjadi detik penting buat JDT dalam usaha melakar rekod dunia.
JDT kini menyamai pencapaian ASEC Mimosas dari Ivory Coast dengan rekod 108 perlawanan liga berturut-turut tanpa kekalahan. Rentetan tersebut dilengkapkan selepas kemenangan besar 14-1 ke atas Kelantan The Real Warriors pada penghujung musim lalu.
Sekiranya berjaya mencatat keputusan seri atau kemenangan ke atas Kuching City, JDT akan mencatat perlawanan liga ke-109 tanpa kalah sekali gus memecahkan rekod berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia mengakui mengekalkan momentum tanpa kekalahan untuk tempoh yang panjang bukan sesuatu yang mudah, terutama apabila setiap pasukan lawan menjadikan pertemuan dengan JDT sebagai peluang untuk mencipta kejutan.
Menurutnya, status JDT sebagai pasukan dominan turut menyebabkan setiap perlawanan hadir dengan tekanan tersendiri.
“Semua orang mahu menewaskan anda dan menganggap setiap perlawanan menentang anda seperti satu perlawanan akhir, sama seperti yang berlaku kepada JDT.”
Garcia menyifatkan rentetan tanpa kalah yang dibina sejak 2021 sebagai pencapaian luar biasa dan berharap pasukan mampu melengkapkan misi tersebut pada Jumaat ini.
Dominasi JDT dalam saingan domestik turut terserlah apabila mereka muncul juara Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut pada musim 2025/26 tanpa mengalami sebarang kekalahan.
Kuching City pula bukan lawan asing buat Harimau Selatan. Kedua-dua pasukan baru sahaja bertemu pada final Piala Malaysia musim lalu, dengan JDT muncul juara selepas kemenangan 2-0.
Pertemuan kali ini bagaimanapun membawa taruhan berbeza apabila Kuching City berpeluang menjadi pasukan yang menghalang JDT daripada melakar satu lagi pencapaian bersejarah.
Jika JDT berjaya mengelak kekalahan di SSI, mereka akan mengatasi rekod 108 perlawanan tanpa kalah ASEC Mimosas dan mengukuhkan nama sebagai pemegang rekod baharu bola sepak dunia.