Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohd Nafuzi Zain menyifatkan kemenangan 3-0 ke atas Melaka FC sebagai ganjaran buat lebih 6,000 penyokong yang hadir memberikan sokongan pada aksi pembukaan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam tadi.

Tiga mata yang diraih skuad Penyu itu bukan sahaja membuka kempen liga dengan langkah positif, malah memberi keyakinan awal kepada Nafuzi dan barisan pemain untuk menghadapi saingan musim ini.

Menurut Nafuzi, sokongan padu penyokong di laman sendiri menjadi antara pencetus semangat kepada pasukannya untuk memberikan persembahan terbaik sehingga berjaya mengatasi Melaka FC dengan keputusan 3-0.

“Saya juga ucapkan tahniah kepada pemain yang telah menunjukkan komitmen tinggi daripada awal. Saya rasa kemenangan ini hadiah untuk peminat yang datang untuk memberi sokongan,” katanya.

Bagaimanapun, Nafuzi tidak melihat kemenangan tersebut sebagai petanda bahawa tugas TFC selepas ini akan menjadi lebih mudah.

Sebaliknya, bekas pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara itu mengakui masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki bagi memastikan TFC mampu tampil lebih konsisten dalam saingan akan datang.

“Walaupun kita mencatat kemenangan 3-0, ia bukanlah mudah kerana Melaka mempunyai ketua jurulatih berpengalaman dan bermain dengan baik.

“Tetapi memulakan langkah (liga) dengan tiga mata adalah sesuatu yang positif dan menjadi suntikan motivasi untuk momentum seterusnya,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan kerja keras serta semangat berpasukan sebagai asas utama sekiranya TFC mahu membina prestasi yang lebih kukuh sepanjang musim.

Dalam pada itu, pengendali Melaka FC, E. Elavarasan mengakui perbezaan kualiti pemain import menjadi antara faktor yang membezakan kedua-dua pasukan dalam perlawanan berkenaan.

Namun, beliau percaya skuad Sang Kancil mampu memperbaiki prestasi selepas empat pemain import baharu dijangka menyertai pasukan dalam masa terdekat.

Elavarasan juga melihat gabungan pemain tempatan berpengalaman dan beberapa pemain muda sebagai aset penting Melaka FC untuk menghadapi saingan musim ini.

“TFC juga mempunyai barisan tonggak tempatan berpengalaman dan pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) negara.

“Pemain tempatan ramai yang sudah lama di Terengganu, jadi keserasian cepat dibina. Begitu juga pemain import seperti Manuel Ott dan Habib Haroon, yang sebelum ini sudah lama dengan Nafizi, mereka sudah serasi dan faham dengan corak permainan yang diterapkan jurulatih itu,” katanya.

Kemenangan tersebut menyaksikan TFC memulakan musim dengan tiga mata, manakala Melaka FC perlu segera bangkit untuk memperbaiki kedudukan dalam perlawanan seterusnya.