CALON Ahli Jawatankuasa Eksekutif Wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dr Siti Faidul Maisarah berjanji untuk memberi tumpuan kepada pembangunan bakat bola sepak wanita khususnya di peringkat akar umbi sekiranya diberi kepercayaan pada pemilihan Kongres FAM kali ini.
Beliau berkata, pengalaman dan kecintaan terhadap bola sepak sejak kecil menjadi antara faktor utama yang mendorongnya untuk kembali bertanding selepas pernah terlibat dalam pentadbiran bola sepak di peringkat kelab, persatuan bola sepak negeri dan FAM.
“Selagi saya boleh menyumbang idea, tenaga dan apa sahaja yang boleh saya sumbangkan kepada FAM, saya akan terus setia dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, pembangunan akar umbi perlu diperkasakan bagi memastikan lebih ramai pemain wanita berbakat dapat dikenal pasti dan diberikan peluang untuk berkembang termasuk melalui sistem pencarian bakat yang lebih meluas dan tidak hanya tertumpu kepada kawasan tertentu.
Dr Maisarah turut mencadangkan penglibatan lebih menyeluruh antara kelab dan persatuan bola sepak negeri bagi mewujudkan kumpulan pemain yang lebih besar sekali gus membuka ruang untuk melahirkan lebih banyak bintang baharu dalam bola sepak wanita negara.
“Kalau kita nak buatkan ‘foundation’, kita perlu turun ke bawah. Kita perlu cipta laluan dan ruang supaya mereka yang ada bakat tetapi belum sampai kepada kita dapat ditemui dan dibangunkan,” katanya.
Beliau pada masa sama mahu pemain muda yang bakal mewakili negara bukan sekadar turun untuk mencari pengalaman, sebaliknya memiliki semangat untuk mencipta kejayaan selain menitikberatkan aspek disiplin, sikap dan pemakanan sebagai sebahagian daripada pembangunan pemain.