Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan penubuhan FIFA Forward Enterprise (FFE) selepas pelan berkenaan menerima bantahan meluas daripada beberapa konfederasi dan persatuan ahli di seluruh dunia.

FFE sebelum ini dicadangkan sebagai sebuah entiti komersial baharu yang akan menguruskan hak komersial kejohanan utama FIFA termasuk Piala Dunia. Menerusi cadangan itu, FIFA bercadang menjual kira-kira 20 peratus pegangan kepada pelabur luar bagi mengumpul sehingga AS$4.2 bilion (RM17.2 bilion), sekali gus meletakkan nilai syarikat tersebut sekitar AS$20 bilion (RM81.7 bilion).

Bagaimanapun, cadangan yang diumumkan awal minggu ini mencetuskan kontroversi apabila menerima tentangan keras daripada beberapa badan bola sepak, khususnya Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), yang menyifatkan langkah itu berisiko menggadaikan masa depan dan integriti bola sepak dunia.

Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata keputusan menarik balik cadangan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak yang berkepentingan.

“Selepas mendengar dengan teliti semua pandangan, menjadi jelas bahawa projek ini mewujudkan perpecahan yang, tanpa mengira tahap sokongan yang diterima, tidak lagi selari dengan matlamat asalnya.

“Matlamat kami sentiasa untuk menyatukan dan memajukan bola sepak. Justeru, cadangan ini tidak akan diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, UEFA mengancam untuk memulaukan kejohanan FIFA sekiranya cadangan tersebut diteruskan, manakala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Konfederasi Bolasepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF) turut menyuarakan kebimbangan terhadap aspek tadbir urus, ketelusan serta proses perundingan yang dianggap tidak mencukupi.

Dalam perkembangan sama, penasihat kanan Infantino, Carlos Cordeiro, mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta selepas menyifatkan cadangan FFE sebagai satu keputusan yang tidak menguntungkan bola sepak.

Turut mengkritik cadangan itu ialah Ketua Pegawai Operasi FIFA, Kevin Lamour, yang mendakwa kakitangan badan induk berkenaan tidak dimaklumkan secara menyeluruh mengenai pelan tersebut dan menyifatkannya sebagai inisiatif yang digerakkan secara individu.

Sementara itu, Perdana Menteri Britain, Andy Burnham, turut menggesa perubahan kepimpinan FIFA dengan mendakwa Infantino tidak lagi sesuai menerajui badan bola sepak dunia itu susulan kontroversi berkenaan.