PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tidak menutup pintu buat Lee Zii Jia sekiranya perseorangan profesional negara itu mahu kembali menyertai badan induk berkenaan pada masa akan datang.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan itu bagaimanapun terpulang kepada Zii Jia, manakala BAM ketika ini memilih untuk memberi tumpuan kepada barisan perseorangan sedia ada serta pembangunan pemain muda sebagai kesinambungan pasukan negara.

“Terpulang kepada Zii Jia. Pada kita, kita mahu fokus kepada perseorangan yang ada sekarang dan juga pemain muda sebagai pelapis,” katanya selepas sidang media BAM, Sabtu lalu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan supaya Zii Jia kembali menyertai BAM, termasuk kemungkinan mengadakan pertemuan dengan pemain itu bagi membincangkan perkara berkenaan.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul menjelaskan BAM ketika ini tidak mempunyai perancangan untuk mengadakan pertemuan khusus dengan Zii Jia bagi membincangkan kepulangannya.

Malah, katanya, Zii Jia juga belum memberikan sebarang maklum balas terhadap tawaran untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan yang pernah diberikan baru-baru ini.

“Buat masa ini, tiada rancangan untuk berjumpa dengan Zii Jia. Tiada respons daripada beliau mengenai tawaran itu,” katanya.

Namun begitu, Tengku Zafrul menegaskan BAM sudah membuka peluang kepada semua pemain profesional untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan, sekali gus bermakna Zii Jia juga dialu-alukan pada bila-bila masa.

“Latihan bersama memang kita sudah buat keputusan di dalam Majlis bukan sahaja untuk Zii Jia, tetapi semua pemain profesional memang terbuka.

“Memang dialu-alukan. Bersedia untuk menyertai pada bila-bila masa,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata Zii Jia sebelum ini pernah menunjukkan kerjasama baik apabila menyertai sesi latihan skuad Piala Thomas sebanyak dua kali menjelang saingan berkenaan.

Katanya, pemain profesional lain turut diberikan ruang menjalani latihan bersama skuad kebangsaan, dengan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani antara yang kini menyertai latihan sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Tengku Zafrul turut menegaskan BAM tidak boleh memaksa pemain profesional untuk menyertai latihan kerana mereka mempunyai komitmen sendiri, namun pintu untuk berlatih bersama skuad kebangsaan kekal terbuka buat Zii Jia.