CALON Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Azlan Johar mahu membuktikan barisan muka baharu mampu membawa perubahan positif dalam badan induk bola sepak negara itu.
Menurut Azlan, keputusan menawarkan diri pada pemilihan kali ini didorong oleh pandangannya bahawa masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam FAM selain merasakan sudah tiba masanya individu baharu diberi peluang untuk menyumbang secara langsung.
“Saya selalu bercakap di luar, kali ini saya ada di dalam untuk memberi pandangan dan nasihat kepada mereka yang diperlukan. Kita ada dua tahun setengah lagi untuk penggal ini, jadi apa salahnya kita cuba orang baharu,” katanya.
Azlan yang mempunyai pengalaman dalam Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional, kejurulatihan dan pengadilan turut berjanji untuk menjadi suara kepada golongan berkaitan selain memastikan setiap pandangan didengar sebelum sesuatu keputusan dibuat.
“Saya akan hadir dalam setiap mesyuarat, mendengar dengan teliti, menilai setiap pandangan dan bersuara dengan berani. Saya mahu memastikan suara jurulatih, pemain dan pengadil turut didengari,” katanya.
Beliau turut menggariskan beberapa perkara yang mahu diberi perhatian sekiranya dipilih termasuk aspek ketelusan dan integriti, kebajikan pemain serta bekas pemain, pembangunan akar umbi, pengurusan kewangan yang baik dan laluan kerjaya yang jelas untuk generasi akan datang.
“Dalam konteks pemilihan di kongres, kita bukan hanya memerlukan seorang pemain bola sepak yang hebat di badan itu. Kita memerlukan seorang legenda yang bijak di bilik mesyuarat dan mampu memastikan urus tadbir dijalankan dengan telus dan berkesan. Saya rasa saya mampu menggalas tugas itu,” katanya.