Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil langkah proaktif bagi memastikan sebarang isu yang boleh menjejaskan tumpuan Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dapat diselesaikan segera.
MSN menerusi kenyataan media memaklumkan langkah itu dibuat dengan kerjasama Majlis Olimpik Malaysia (MOM), terutama ketika atlet dan pegawai negara mula tiba di Aichi, Nagoya serta Tokyo sejak beberapa hari lalu.
“MSN dengan kerjasama MOM mengambil langkah proaktif bagi menangani isu-isu dihadapi Kontinjen Malaysia untuk temasya Sukan Asia 2026 ketika atlet-atlet negara mula tiba di Aichi dan Nagoya sejak beberapa hari lalu,” menurut kenyataan itu.
Antara isu yang diberi perhatian adalah kekurangan bilik penginapan apabila lima atlet karate yang dijadual tiba di Nagoya pada Khamis tidak disediakan bilik oleh penganjur.
“Isu jumlah penginapan tidak mencukupi yang dihadapi beberapa negara turut mengganggu atlet karate dan ia diselesaikan setelah sekretariat MSN membayar kos bilik tambahan di hotel penginapan rasmi untuk lima orang atlet,” menurut kenyataan MSN.
Situasi sama turut membabitkan 16 atlet dan pegawai skuad memanah yang masih belum menerima pengesahan penginapan daripada penganjur menjelang ketibaan mereka pada 24 September nanti.
Bagi mengelakkan fokus atlet terganggu, MSN sudah membuat tempahan 11 bilik di hotel berasingan dan bersedia menanggung kos penginapan termasuk pengangkutan ke venue pertandingan sekiranya status penginapan rasmi masih tidak disahkan penganjur.
Selain penginapan, aspek pengangkutan turut diberi perhatian selepas terdapat kontinjen yang terpaksa menunggu sehingga 40 minit untuk mendapatkan kenderaan ke venue pertandingan.
“MSN juga menjangkakan pengangkutan atlet ke venue pertandingan bakal menimbulkan masalah dan telah menyediakan solusi dengan mengenal pasti pembekal perkhidmatan pengangkutan yang boleh ditempah untuk kegunaan atlet-atlet negara,” katanya.
Dalam pada itu, setiap atlet negara turut dibekalkan baju hujan susulan keadaan cuaca tidak menentu termasuk hujan lebat di Aichi dan Nagoya sejak beberapa hari lalu.
MSN turut menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan serta mengambil kira SOP keselamatan bencana alam yang disediakan penganjur, manakala pegawai di Aichi dan Nagoya memastikan hidangan untuk atlet negara disahkan halal.
“Pegawai-pegawai MSN di Aichi dan Nagoya juga telah berhubung dengan penganjur untuk memastikan setiap hidangan sajian untuk atlet-atlet negara disahkan halal,” katanya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, sekretariat turut membawa bekalan makanan sedia dimakan bagi atlet yang memerlukannya serta mengurangkan risiko keracunan makanan sekiranya mereka terpaksa mendapatkan makanan dari luar.
Setakat ini, atlet dan pegawai daripada sukan bola keranjang wanita, kriket wanita, ekuestrian serta pasukan hoki lelaki dan wanita sudah tiba di Aichi, Nagoya dan Tokyo dan semuanya disediakan penginapan oleh penganjur.
MSN pada masa sama mengingatkan semua atlet supaya segera memaklumkan kepada pengurusan pasukan sekiranya berdepan sebarang isu yang boleh mengganggu fokus dan persiapan mereka supaya perkara itu boleh dirujuk kepada penganjur bagi mendapatkan penyelesaian terbaik.