KEJOHANAN ragbi sekolah paling berprestij negara, bakal kembali menghangatkan padang bersejarah Malay College Kuala Kangsar (MCKK) dari 4 hingga 6 Julai ini dengan penyertaan 24 pasukan elit dari Malaysia dan luar negara, termasuk pasukan ternama dari Fiji, Jepun, Thailand dan Indonesia.
Dengan penyertaan pasukan luar negara, edisi ke-13 kali ini dijangka menjadi antara yang paling sengit dan dramatik.
Juara bertahan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) hadir ke Kuala Kangsar dengan misi mempertahankan kejuaraan selepas kemenangan bergaya 36–5 ke atas SMK Jalan Tiga (ARAS) tahun lalu. Namun mereka dijangka mendapat tentangan hebat daripada pasukan gergasi tempatan seperti Maktab Tentera Diraja (MTD), Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP), Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), SEMASHUR dan Victoria Institution (VI), serta tentunya pasukan tuan rumah, MCKK sendiri.

Kejohanan kali ini turut menyerlahkan reputasi serantau MCKK Premier 7s sebagai platform pembangunan bakat ragbi apabila menarik penyertaan pasukan antarabangsa seperti Serevi Rugby Academy dari Fiji, Shizuoka Seiko Academy (Jepun), SMA Darunnajah (Indonesia) dan Vajiravudh College (Thailand). Keempat-empat pasukan ini bakal menjadi tumpuan pencinta ragbi yang mahu menyaksikan pertembungan gaya permainan dari pelbagai benua.
Disokong Kementerian Belia dan Sukan serta Rakan Muda, kejohanan ini bukan sekadar pentas kejuaraan, malah medan menyemai nilai-nilai murni seperti disiplin, integriti dan kerja berpasukan dalam kalangan belia. Lebih penting, ia menjadi tonggak utama usaha menghidupkan semula budaya ragbi di peringkat sekolah sambil menyediakan ruang buat bakat muda menyerlah dan bersinar di mata pencari bakat kebangsaan.

Selain memperkasakan sukan akar umbi, MCKK Premier 7s turut menyumbang kepada sektor pelancongan sukan negara, khususnya di Kuala Kangsar yang bakal menjadi tumpuan pelawat tempatan dan antarabangsa sepanjang kejohanan berlangsung. Dengan sokongan padu masyarakat dan komuniti ragbi, kejohanan ini menjanjikan satu hujung minggu yang padat dengan aksi, emosi dan semangat kesukanan yang menyatukan.