DATO’ Suraya Yaacob mahu meneruskan agenda pembangunan bola sepak wanita sekiranya diberi mandat untuk kekal sebagai Exco FAM.

Beliau berkata pencalonannya kali ini adalah kesinambungan usaha tiga tahun lalu yang menyaksikan peningkatan penyertaan serta perkembangan Liga Puteri dan Liga Wanita Nasional.

Suraya menyasarkan jumlah pasukan Liga Wanita Nasional ditingkatkan daripada lapan kepada 10 hingga 12 pasukan pada tahun depan.

Selain itu, beliau turut merancang memperkenalkan pertandingan bawah 19 tahun dengan melibatkan lebih banyak kelab dan institusi pengajian tinggi.

Suraya turut menegaskan komitmennya bukan sekadar sebagai Exco sebaliknya mahu terus aktif dalam membuat keputusan serta memperkukuh kerjasama dengan FIFA dan AFC.

Menjelang pemilihan FAM pada 17 September, beliau berharap para pengundi menilai calon berdasarkan pencapaian dan sumbangan yang telah diberikan kepada pembangunan bola sepak negara.