Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima memorandum daripada kumpulan penyokong Ultras Malaya selepas Kongres Luar Biasa badan induk itu berlangsung semalam.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan memorandum berkenaan diserahkan sendiri oleh wakil Ultras Malaya kepadanya di hotel yang menjadi lokasi kongres.
Bagaimanapun, pertemuan antara kedua-dua pihak tidak dapat berlangsung lebih lanjut apabila keadaan di lokasi ketika itu tidak mengizinkan untuk sebarang perbincangan dibuat.
Noor Azman berkata, pihaknya akan menyerahkan memorandum tersebut kepada barisan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) baharu untuk diteliti sebelum sebarang tindakan susulan diputuskan.

“Tadi ada sahabat daripada Ultras datang bawa satu surat dan serahkan kepada saya selaku Setiausaha Agung. Selepas itu, mereka minta untuk berbincang.
“Kita bukan tidak mahu berbincang, tetapi ketika itu keadaan tidak sesuai kerana polis ramai. Kita tunggu Presiden dan Exco baharu, kemudian kita akan berjumpa dan serahkan memorandum itu kepada mereka untuk dinilai,” katanya pada sidang media selepas Kongres Luar Biasa FAM.
Ultras Malaya sebelum ini melancarkan kempen boikot terhadap perlawanan Harimau Malaya sebagai tanda bantahan terhadap beberapa isu yang melanda bola sepak negara, termasuk kontroversi berkaitan pemalsuan dokumen tujuh pemain serta perkembangan Liga Malaysia.
Beberapa kumpulan ultras sebelum ini turut mengambil langkah mengemukakan memorandum kepada kelab dan persatuan bola sepak negeri masing-masing bagi mendapatkan pendirian mengenai isu-isu yang menjadi perhatian penyokong.
Dalam pada itu, Noor Azman belum dapat memberikan gambaran mengenai perkara yang dibangkitkan dalam memorandum tersebut kerana dokumen berkenaan baru sahaja diterimanya.
“Saya baru sahaja terima memorandum tadi dan belum sempat membaca kandungannya. Jadi saya perlu baca terlebih dahulu,” katanya.
Memorandum itu kini dijangka menjadi antara perkara yang akan diberikan perhatian oleh kepimpinan baharu FAM selepas barisan Exco dipilih bagi melengkapkan baki penggal 2025-2029.