Kredit Gambar: MSN Malaysia
Atlet wusyu negara, Tan Cheong Min membuka peluang cerah untuk kembali menaiki podium Sukan Asia apabila menduduki tempat kedua selepas saingan nanquan wanita di Aichi-Nagoya, pagi ini.
Cheong Min mengumpul 9.726 mata untuk berada di belakang wakil China, Zhang Yaling yang mencatat 9.783 mata dalam aksi di Aichi Prefectural Martial Arts Hall.
Kedudukan itu bagaimanapun masih belum selamat buat wakil negara apabila atlet Iran, Mina Panahi Dorcheh mengekori rapat dengan 9.716 mata, sekali gus menjadikan saingan untuk merebut pingat semakin sengit.
Cheong Min kini mengintai peluang untuk menambah koleksi pingatnya di pentas Sukan Asia selepas memenangi pingat perak dalam acara sama pada edisi Hangzhou.
Penentuan pemenang bagaimanapun hanya akan diketahui selepas satu lagi disiplin, nandao, berlangsung petang ini.
Markah daripada nanquan dan nandao akan digabungkan bagi menentukan kedudukan akhir acara nanquan-nandao wanita.
Dengan perbezaan hanya 0.010 mata memisahkan Cheong Min dan Panahi Dorcheh, atlet negara perlu mengekalkan prestasi terbaik dalam rutin nandao untuk terus berada dalam persaingan merebut tempat di podium.