gambar: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM)
SKUAD regu lelaki negara terus menunjukkan taring dalam kempen Piala Asia Sepak Takraw 2025 apabila menewaskan Singapura 2-0 dalam aksi kumpulan D sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir. Kemenangan ini hadir hanya beberapa jam selepas Malaysia meratah Nepal, membuktikan dominasi pasukan tuan rumah dalam saingan regu setakat ini.
Turun dengan barisan utama, Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam skuad negara tidak memberi ruang langsung kepada jiran serantau itu. Mereka membuka aksi dengan garang, mendahului 11-3 menerusi libasan padu dan servis berbahaya, sebelum Azlan menamatkan set pertama dengan satu libasan deras yang menewaskan pertahanan Singapura.
Walaupun Singapura cuba bangkit dan meraih enam mata berturut-turut, pengalaman dan ketenangan regu Malaysia nyata sukar digugat. Aksi konsisten diteruskan ke set kedua, dengan Singapura sekali lagi cuba memberi saingan, namun kesilapan individu lawan memudahkan skuad negara menambah mata demi mata.
Masuknya Haziq Nizam sebagai tekong menggantikan Syahir menambahkan variasi kepada permainan Malaysia, dan beliau menutup aksi dengan servis kencang untuk kemenangan bergaya 15-9, 15-6. Kemenangan ini juga meletakkan Malaysia selesa di puncak kumpulan D dan sah mara ke separuh akhir lebih awal.
Skuad negara dijadual menutup aksi kumpulan menentang Filipina pada Rabu ini, namun tumpuan kini pastinya sudah terarah ke peringkat kalah mati untuk memburu kejuaraan regu Asia buat kali pertama.