Klinik STL 2026 tampil dengan kelainan apabila buat julung kalinya membuka peluang kepada peserta wanita untuk merebut tempat ke Kem Final, sekali gus memperluaskan laluan pembangunan bakat muda dalam sukan sepak takraw negara.
Memasuki musim keempat, program anjuran Astro itu terbuka kepada pemain lelaki dan wanita berusia antara 13 hingga 17 tahun, dengan 40 peserta terbaik bakal dipilih ke Kem Final selepas melalui siri klinik di enam lokasi terpilih.
Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John, berkata peluasan penyertaan kepada peserta wanita menjadi antara perkembangan penting program berkenaan yang sejak empat musim lalu sudah menghimpunkan lebih 4,000 peserta dari seluruh negara.
Menurutnya, Klinik STL kini berkembang daripada sekadar program latihan kepada platform pembangunan bakat yang menyediakan pendedahan, bimbingan serta laluan lebih jelas kepada pemain muda untuk melangkah ke tahap lebih tinggi.

Kem Final pula akan berlangsung di Akademi Sepak Takraw Malaysia yang dilengkapi kemudahan dan infrastruktur lebih moden, membolehkan peserta merasai sendiri suasana latihan di pusat kecemerlangan sepak takraw negara.
Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, menyifatkan Klinik STL sebagai antara platform penting dalam usaha mengenal pasti serta membangunkan bakat baharu sejak peringkat awal.
Beliau berkata pemilihan peserta terbaik untuk mengikuti Kem Final akan memberikan mereka pendedahan kepada persekitaran latihan moden, selain peluang menjalani latihan bersama jurulatih kebangsaan dan mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai tuntutan serta disiplin pemain berprestasi tinggi.
Program tahun ini akan berlangsung di enam lokasi termasuk sekolah dan kawasan luar bandar, dengan penglibatan pelajar daripada pelbagai latar masyarakat menerusi kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Inisiatif itu turut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), CelcomDigi dan PSM.
Pendaftaran Klinik STL 2026 kini dibuka kepada pemain lelaki dan wanita berusia 13 hingga 17 tahun, manakala siri klinik dijadual berlangsung di enam lokasi terpilih. Peserta juga berpeluang berinteraksi dengan idola sepak takraw negara sebagai sebahagian daripada pengalaman pembangunan bakat yang ditawarkan.