KEPUTUSAN persatuan sukan untuk tidak menghantar atlet ke temasya Sukan Asia Hangzhou, September depan, dialu-alukan Majlis olimpik Malaysia (MOM) sebagai tanda menghormati keputusan yang dibuat mereka.
Malah, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, rasionalisasi persatuan yang mengutamakan kelayakan ke Olimpik Paris, satu pertimbangan tepat.
Ini susulan keputusan dua atlet angkat berat negara yang meraih emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022 iaitu Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin yang memilih untuk tidak ke Sukan Asia, Hangzhou, China.
Kedua-dua mereka dijangka menyertai Kejohanan Dunia di Riyadh, Arab Saudi bermula 2 September, dalam usaha memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“MOM sokong apa yang diputuskan oleh pihak persatuan kerana mungkin kita ada rasa kekurangan di Sukan Asia jadi agenda lebih penting adalah untuk Olimpik nanti.
“Untuk layak ke Olimpik bukan mudah, sebab setiap atlet perlu mendapatkan mata bagi membolehkan mereka layak,” katanya.

Tan Sri Mohamad Norza Zakaria hormati keputusan persatuan sukan tidak menghantar atlet ke Sukan Asia bagi memastikan atlet mereka layak ke Olimpik Paris 2024.
Sementara itu Norza berkata, sasaran pingat untuk temasya Sukan Asia hanya akan diputuskan selepas persatuan mengemukakan cadangan masing-masing.
“Buat masa ini proses berkenaan dilakukan oleh ketua kontinjen (Datuk Chong Kim Fatt) bersama pengurus persatuan.
“Mereka akan bincang cadangan dari persatuan secara kolektif untuk kementerian dan pihak saya lihat sama ada sasaran yang akan dicapai itu realistik atau tidak.
“Kemudian kita akan umumkan bila perkara itu dibincang dengan lebih lanjut,” katanya.