Keyakinan yang dibina menerusi dua aksi pembukaan menjadi bekalan penting buat Harimau Malaya menjelang pertemuan terakhir Kumpulan A Divisyen 1 FIFA ASEAN Cup 2026 menentang Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Khamis ini.

Tan Cheng Hoe berkata skuad negara sudah melalui beberapa detik penting dalam dua perlawanan terdahulu, termasuk keputusan seri 0-0 ketika berdepan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno (GBK).

“Pemain memperoleh banyak pengalaman, keyakinan dan melalui pelbagai detik penting sebagai sebuah pasukan. Kita masih mempunyai satu perlawanan sukar menentang Singapura dan seperti yang kita katakan, ini adalah ‘Derbi Seberang Tambak’,” katanya.

Pengendali sementara berusia 58 tahun itu menjangkakan Singapura akan memberikan cabaran berbeza, namun percaya pemain negara sudah bersedia untuk menghadapi aksi terakhir selepas meraih keputusan positif di Jakarta.

“Kita tahu aksi menentang Singapura juga akan menjadi perlawanan sukar, tetapi saya yakin selepas meraih keputusan yang baik menentang Indonesia, kita sudah bersedia,” katanya.

Dalam masa sama, Tan mengakui tempoh pemulihan yang singkat menjadi cabaran buat skuad negara, terutama selepas mengharungi dua perlawanan yang menuntut tahap fizikal tinggi serta perlu melakukan perjalanan dari Jakarta ke Bandung.

“Kita juga berdepan tempoh yang mencabar kerana perlu melakukan perjalanan ke Bandung. Itu bukan alasan, tetapi dalam bola sepak, kadangkala anda memerlukan proses pemulihan dan persiapan yang baik,” katanya.

Barisan kejurulatihan akan menilai tahap kecergasan setiap pemain sebelum menentukan kesebelasan utama, selain melihat perubahan taktikal yang diperlukan untuk menghadapi Singapura.

Tan turut mengakui kehadiran beberapa pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) membantu dari segi persefahaman, namun beliau menegaskan kejayaan pasukan tidak boleh bergantung kepada kelompok pemain tertentu sahaja.

“Kesesuaian dan persefahaman dalam kalangan pemain JDT memberi kita kelebihan, tetapi bola sepak memerlukan kita bermain sebagai satu pasukan, bukan hanya bergantung kepada pemain JDT. Fokus saya adalah kepada prestasi pasukan,” katanya.

Malaysia kini mengungguli Kumpulan A dengan empat mata, berkongsi jumlah sama dengan Indonesia tetapi memiliki kelebihan perbezaan jaringan. Singapura pula mengumpul tiga mata, manakala Bangladesh masih belum memperoleh mata.

Dengan kedudukan kumpulan yang masih terbuka, pertemuan Malaysia-Singapura bakal menjadi aksi penentu sebelum juara kumpulan mara ke final dan naib juara beraksi dalam penentuan tempat ketiga di Stadium Gelora Bung Karno pada Isnin depan.