SKUAD Tajikistan hadir ke Kejohanan Pestabola Merdeka 2023 tanpa 15 pemain utama kerana tidak mendapat perlepasan dari kelab namun itu bukan alasan untuk mereka memberikan laluan mudah buat Malaysia dalam aksi final pada Selasa.
Pengendalinya Petar Segrt mengakui skuad yang dibawa ke Kuala Lumpur kali ini bukanlah skuad yang sama ketika menewaskan Malaysia di Kejohanan King’s Cup tahun lalu di Chiang Mai dengan purata umur skuad kali ini adalah 21 tahun.
“Kami tewaskan pasukan anda ketika King’s Cup tahun lalu tetapi kali ini pasukan anda bermain dengan lebih baik tetapi kami kini tanpa 15 pemain utama kerana kelab kami, Istiklol tidak melepaskan pemain kerana berpeluang ke peringkat seterusnya dalam Liga Juara-Juara AFC.

“Pasukan kami sangat berbeza kerana skuad kami kali ini tanpa 15 pemain utama dan ini adalah skuad kebangsaan termuda dalam sejarah dengan purata umur 21 tahun. Perlawanan esok akan menjadi pengalaman yang baik buat pemain-pemain ini,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.
Jurulatih kelahiran Croatia itu juga sedar akan peningkatan skuad Harimau Malaya yang signifikan di peringkat antarabangsa dan dia mempunyai pandangan sendiri mengenai perkara ini.
“Malaysia meningkat naik sejak dua tahun kebelakangan ini dan ada sebab disebalik kejayaan ini. Pertama ialah Kim Pan-gon dan kedua adalah sokongan dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta negara anda banyak melabur dalam bola sepak.

“Anda sudah bermain dalam 22 perlawanan antarabangsa atau lebih sebelum ini. Saya hanya beraksi 16 perlawanan dengan 15 daripadanya di luar negara dan hanya satu perlawanan di tempat sendiri ketika menentang Russia,” jelasnya.
Petar turut melaungkan keyakinan bahawa pasukannya akan memberikan cabaran hebat terhadap skuad Harimau Malaya sekali gus membawa pulang trofi Pestabola Merdeka tahun ini.
“Esok malam percayalah, kami akan masuk ke padang dan kemudiannya membawa pulang trofi ke negara kami. Kami tidak akan memberi laluan mudah kepada Malaysia dan kami akan melawan.

“Mungkin kami bukan pasukan terkuat pada perlawanan esok. Tapi dalam 90 minit, kami akan berjuang untuk trofi ini. Saya bekerja di Indonesia selama tiga tahun dan saya tahu makna Pestabola Merdeka untuk rakyat Malaysia,” tambahnya.
Tajikistan yang pada awalnya menggantikan Lubnan mendapat ‘bye’ ke perlawanan akhir selepas penarikan diri Palestin dari kejohanan kini bakal menjadi penghalang buat Malaysia untuk kembali menjulang trofi Pestabola Merdeka selepas kali terakhir melakukannya pada 2013.