SAINGAN STL 2026 terus menjadi antara platform penting dalam pembangunan sepak takraw negara apabila menyediakan platform persaingan berkualiti kepada pemain tempatan untuk meningkatkan tahap permainan.

Pemain apit kiri dan ketua pasukan Putrajaya Cyborg, Nur Hidayat, menyifatkan perkembangan STL sebagai faktor yang mampu meningkatkan daya saing pemain tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Perkembangan STL bagi saya memang nampak terlalu baik dan terlalu drastik, dan itu boleh menyebabkan kita Malaysia dah boleh bersaing dengan Thailand dan pihak-pihak luar,” katanya selepas membantu Putrajaya Cyborg meraih kemenangan pertama dalam saingan Kumpulan D.

Peningkatan daya saing sepak takraw Malaysia di pentas antarabangsa turut dibuktikan apabila negara menamatkan penantian 36 tahun untuk meraih pingat emas regu berpasukan lelaki di Sukan Asia 2026 selepas menewaskan Thailand 2-0.

Putrajaya Cyborg bangkit daripada kekalahan 1-2 kepada Kedah Eagles pada perlawanan pembukaan kumpulan semalam apabila menewaskan Labuan Drillers 2-0 menerusi kemenangan 15-10 dan 15-3 untuk kini berada di tempat kedua Kumpulan D.

“Dengan adanya pentas yang berprestij ni, ia memberi saingan yang bagus dan harap teruskanlah,” tambah Hidayat.

Kemenangan itu menyaksikan Putrajaya Cyborg menamatkan saingan kumpulan dengan satu kemenangan dan satu kekalahan.

Namun, peluang mereka ke suku akhir masih bergantung kepada keputusan pertembungan Labuan Drillers dan Kedah Eagles.

Dalam satu lagi aksi, Pahang Mammoth membuka kempen STL Division 1 2026 dengan bergaya selepas menewaskan Penjara Enforcers 2-0 menerusi kemenangan 15-6 pada set pertama sebelum melengkapkan kemenangan 15-7 pada set kedua.

Manakala Labuan Drillers selepas ini akan berdepan Kedah Eagles pada jam 5.00 petang esok dalam aksi yang bakal menentukan sama ada Kedah Eagles menjuarai Kumpulan D atau Labuan Drillers menghidupkan peluang untuk mara ke suku akhir.

Sementara itu, Pahang Mammoth akan menentang Sarawak Hunter pada jam 8.00 malam bagi menentukan juara Kumpulan A.