DUA beregu badminton profesional negara, yang sebelum ini memohon lanjutan masa untuk mempertimbang penyertaan ke dalam program Road to Gold (RTG), sudah memuktamadkannya semalam, selepas menandai surat komitmen (LOC).

Menerusi perkongsian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di laman Facebook rasminya, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Soon Huat-Shevon Lai mengesahkan penyertaan ke dalam program elit untuk kitaran 2025 itu, semalam (18 Jun) di Institut Sukan Negara (ISN) di hadapan Penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam.

“Menerusi RTG, keempat-empat pemain ini, kini akan menerima sokongan menyeluruh berasaskan prestasi dalam usaha mereka bukan sahaja untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2028, malah mencipta sejarah buat Malaysia di Los Angeles,” kata Hannah di Facebooknya.

Menurutnya lagi, RTG sentiasa menyokong atlet yang memenuhi kriteria program dan berharap sokongan tambahan itu dapat menyuntik semangat mereka dalam mengejar kecemerlangan tahun ini.

Untuk rekod, Sze Fei-Nur Izzuddin mencipta sejarah sebagai pemain beregu profesional negara yang pertama menduduki ranking nombor 1 dunia dan selayakkan menerima sokongan dari program ellit terbabit.

Soon Huat-Shevon juga membuktikan status pemain senior profesional bukan penghalang untuk menjadi pencabar dunia apabila menduduki ranking keenam dunia ketika ini, biarpun mencapai kedudukan tertinggi, iaitu nombor 3 sebelum ini.

Atlet yang berada di bawah RTG 2025 mendapat manfaan sokongan logistik dalam mengatur perjalanan dan logistik pertandingan, sokongan pemulihan, serta menerima sokongan persiapan menuju Los Angeles 2028.