SAMBUTAN Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan 2026 yang dijadualkan berlangsung di Bukit Jalil esok terpaksa ditangguhkan susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.

Menurut kenyataan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), keputusan itu dibuat selepas penelitian terhadap perkembangan kualiti udara serta perbincangan terperinci bersama agensi kerajaan berkaitan, dengan keselamatan dan kesihatan awam menjadi keutamaan.

“Sehubungan itu, atas nasihat dan persetujuan YB Menteri Belia dan Sukan, KBS dengan ini memaklumkan bahawa sambutan HSN Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Bukit Jalil pada 10 Oktober 2026 (Sabtu) ditangguhkan,” menurut kenyataan KBS hari ini.

Dalam pada itu, KBS turut menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung keadaan jerebu yang melanda negara..

“Tarikh baharu penganjuran akan diumumkan kelak, tertakluk kepada pemulihan kualiti udara ke tahap yang selamat bagi aktiviti luar,” menurut kenyataan itu.

“Keputusan ini dibuat sebagai langkah proaktif dan berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan kepada para peserta, penganjur dan orang ramai,” menurut kenyataan sama.

Dalam pada itu, penganjuran HSN di peringkat negeri turut menerima kesan apabila sambutan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka ditangguhkan berikutan keadaan jerebu.

Bagaimanapun, sambutan di Pahang, Terengganu, Kelantan, Perlis, Perak, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan diteruskan seperti dirancang, tertakluk kepada situasi setempat serta ketetapan pentadbiran masing-masing.

Sehubungan itu, KBS menyeru orang ramai supaya mengehadkan aktiviti fizikal di luar rumah buat sementara waktu serta mematuhi nasihat kesihatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar dari semasa ke semasa.