TEKONG Selangor Pistons, Aizat Azmi, meluahkan rasa syukur apabila pasukannya berjaya memberikan saingan sengit kepada Perak Bison dalam aksi pembukaan kumpulan D STL Premier GP Penang semalam.
Beliau mengakui bahawa berdepan pasukan yang dibarisi pemain kebangsaan Malaysia dan Thailand bukanlah tugas mudah namun Selangor Pistons tetap berusaha memberikan tentangan terbaik sepanjang perlawanan.
“Saya bersyukur dapat memberikan saingan kepada Perak Bison yang mempunyai pemain yang mewakili Malaysia dan Thailand,” katanya ketika ditemu bual oleh Astro Arena.
Tambah beliau, beraksi menentang pasukan yang kuat menuntut setiap pemain untuk memberikan fokus sepenuhnya kerana sebarang kesilapan boleh membawa padah kepada pasukan.
Bagaimanapun, Selangor Pistons terpaksa akur dengan kekalahan 1-2 kepada Perak Bison selepas melalui pertarungan sengit dalam perlawanan tersebut.
Selangor Pistons berjaya bangkit memenangi set kedua namun gagal meneruskan momentum apabila tewas pada set penentuan dalam aksi pembukaan itu.