Kredit Gambar: MSN Malaysia

Pemain boling padang negara, Izzat Shameer Dzulkeple enggan terlalu selesa meskipun membuka kempen Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan kemenangan, sebaliknya mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang aksi seterusnya.

Atlet berusia 44 tahun itu memulakan saingan Kumpulan D acara perseorangan lelaki dengan menewaskan Cecil Alexander dari Kepulauan Falkland 2-0 menerusi kemenangan 10-3, 7-4 di Scottish Event Campus Centre.

Menurut Izzat, perasaan gementar tetap dirasai ketika turun beraksi dalam perlawanan pertama, namun kemenangan itu membantunya menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan selain meningkatkan keyakinan untuk baki saingan.

“Alhamdulillah, ia satu permulaan yang agak baik. Walaupun ada sedikit rasa gementar, secara keseluruhan masih banyak perlu diperbaiki.

“Hari ini memberi peluang kepada saya merasai suasana pertandingan, jadi mungkin esok saya akan tampil lebih yakin,” katanya.

Izzat mengakui cabaran lebih getir masih menantinya apabila bakal berdepan wakil India, Malta dan Kanada dalam baki aksi peringkat kumpulan.

Beliau turut mengenal pasti aspek balingan sebagai perkara utama yang perlu diperbaiki, khususnya mengurangkan balingan yang terlalu pendek yang menurutnya menjejaskan peluang mengutip mata.

“Saya rasa bola yang terlalu pendek perlu diperbaiki. Saya perlu lebih fokus pada balingan draw dan memastikan bola sampai ke kawasan yang sepatutnya,” katanya.

Walaupun berpuas hati dengan kemenangan pembukaan, Izzat menegaskan konsistensi permainan perlu dipertingkatkan sekiranya mahu meneruskan kemaraan dalam temasya kali ini.

Izzat dijadual meneruskan cabaran dengan menentang pemain Malta, Shaun Parnis, manakala gandingan wanita Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman turut memulakan kempen Kumpulan D dengan aksi menentang wakil Kepulauan Falkland dan Jersey.