Terengganu FC mengakui prestasi semasa pasukan masih belum mencapai tahap yang diharapkan susulan keputusan kurang memberangsangkan dalam saingan Liga Malaysia, sekali gus memberi bayangan tindakan susulan terhadap barisan kejurulatihan menjelang aksi seterusnya.

Menerusi satu kenyataan rasmi, pihak pengurusan kelab memaklumkan mereka memahami kekecewaan, kritikan dan kebimbangan penyokong terhadap prestasi skuad Penyu sejak kebelakangan ini.

Pengurusan turut mengakui setiap keputusan di atas padang bukan sekadar melibatkan keputusan perlawanan, sebaliknya membawa maruah serta harapan penyokong yang sentiasa berdiri teguh bersama kelab.

Sebagai langkah susulan, pihak pengurusan telah mengadakan dua sesi bedah siasat, masing-masing selepas perlawanan menentang DPMM FC dalam saingan Piala FA dan aksi berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), dengan turut melibatkan Jawatankuasa Teknikal dan Pemilihan TFC Sdn Bhd.

Tempoh rehat kalendar FIFA selama beberapa hari pula dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkemaskan pasukan sebelum kembali beraksi dalam saingan liga.

Dalam kenyataan sama, Terengganu FC mengakui keputusan tidak memihak kepada mereka selepas tewas kepada JDT dan Sabah FC, sekali gus menyaksikan pasukan itu kini berada di kedudukan kesembilan liga.

Sehubungan itu, satu surat peringatan telah diberikan kepada barisan kejurulatihan sebelum pertemuan menentang DPMM FC dalam aksi Liga Super yang dijadualkan berlangsung pada 20 November 2026.

Bagaimanapun, pihak pengurusan menegaskan tanggungjawab terhadap prestasi pasukan tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada pemain atau barisan kejurulatihan sahaja, sebaliknya perlu dipikul bersama oleh pihak pengurusan kelab.

Justeru, kelab berjanji akan mempertingkatkan struktur, perancangan, sumber dan sokongan yang diperlukan bagi mewujudkan persekitaran kerja lebih baik demi membantu pasukan kembali mencapai tahap prestasi yang diharapkan.

Terengganu FC turut menghargai segala sokongan, teguran dan pandangan penyokong, selain menyeru semua pihak terus memberikan sokongan kepada pemain serta pasukan ketika mengharungi tempoh mencabar ini.

Pengurusan kelab turut memberi jaminan akan terus memantau perkembangan skuad dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan Terengganu FC mampu bangkit, kembali bersaing serta mencapai prestasi lebih baik pada masa akan datang.