Pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid menyifatkan kehadiran beberapa muka baharu dalam kem Harimau Malaya sebagai peluang terbaik buat pemain terbabit membuktikan kemampuan masing-masing di pentas antarabangsa.

Skuad kendalian ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe menyaksikan perubahan dalam senarai pemain bagi menghadapi dua aksi persahabatan Tier 1 menentang China dan Yemen selepas beberapa tonggak tidak dapat menyertai kem kali ini.

Ketiadaan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) disebabkan jadual perlawanan kelab yang padat termasuk saingan Shopee Cup, manakala enam pemain Selangor FC pula terpaksa menarik diri pada saat akhir akibat kecederaan.

Situasi itu membuka ruang kepada beberapa pemain lain untuk mendapat peluang bersama skuad kebangsaan, termasuk Ariff Farhan Md Isa, Haziq Kutty Abba, Safwan Mazlan, Richard Chin, Dominic Tan dan Romel Morales.

Safawi percaya pemain yang mendapat panggilan kali ini memiliki kualiti tersendiri dan berupaya memberikan saingan sihat dalam usaha merebut tempat dalam pasukan utama.

“Jadi, sekarang ini peluang untuk pemain-pemain yang dipanggil sekarang ini untuk buktikan kemampuan di peringkat antarabangsa.

“Macam saya cakap tadi, pemain yang dipanggil ialah pemain yang berkualiti dan boleh memberi saingan untuk aksi persahabatan seterusnya,” katanya.

Dalam masa sama, ketiadaan dua pemain sayap utama, Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim turut membuka peluang lebih besar buat Safawi untuk mengisi posisi di bahagian serangan Harimau Malaya.

Bagaimanapun, Safawi menegaskan setiap pemain mempunyai kelebihan tersendiri dan tidak wajar persembahannya dibandingkan secara langsung dengan Arif Aiman, sambil menyatakan kesediaan beraksi di beberapa posisi mengikut keperluan pasukan.

“Arif Aiman mungkin ada kelebihan dia. Maksudnya setiap pemain mempunyai kelebihan masing-masing. Ketiadaan Arif Aiman mungkin saya boleh bermain di bahagian sayap kanan, sebagai nombor 10, atau juga sayap kiri.

“Jadi bagi saya tiada masalah untuk beraksi di mana-mana posisi itu,” katanya kepada media selepas melaporkan diri bersama skuad kebangsaan semalam.

Harimau Malaya sudah berlepas ke China pagi tadi bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang China pada Sabtu sebelum bertemu Yemen pada 17 November ini.