FOOTBALL Australia melakukan kunjungan hormat di samping mahu mempromosikan kempen Piala Dunia Wanita 2023 Australia-New Zealand di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Selasa.
Selain itu, kunjungan hormat itu juga telah membuka ruang untuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membincangkan peluang berkolaborasi bersama Football Australia.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin turut meluangkan masa untuk bertemu delegasi dari Football Australia sebelum menghadiri taklimat bersama Jabatan Teknikal FAM.
Delegasi Football Australia itu diketuai oleh Pengurus Besar Projek Strategik dan Kerjasama Antarabangsa, Kieran Lilley serta Koordinator Kerjasama Antarabangsa, Thomas Engelhardt, bekas pemain skuad bola sepak wanita kebangsaan Australia, Servet Uzunlar, pemain skuad junior bola sepak wanita kebangsaan Australia, Emma Ilijoski dan Pengurus Diplomasi Awam Suruhanjaya Tinggi Australia, Jason Moynihan.
Ucapan pembukaan sesi taklimat bersama Jabatan Teknikal FAM itu telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram bersama Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman.
Taklimat daripada jabatan teknikal itu telah dilakukan oleh Pengarah Teknikal FAM, Scott O’ Donell, Ketua Unit Bolasepak Wanita FAM merangkap Ketua Jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi dan Ketua Unit Akar Umbi FAM, Cameron Ng di mana pembentangan berkenaan telah meliputi aspek bola sepak wanita dan akar umbi di Malaysia.