Kredit Grafik: MSN Perlis

Majlis Sukan Negara (MSN) memberi jaminan akan menyediakan bantuan dan sokongan sewajarnya kepada atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin yang kini menjalani rawatan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya SUKE, malam tadi.

Komitmen itu bagi memastikan kebajikan atlet Program Podium berkenaan terus terpelihara, selain membolehkan beliau menerima rawatan terbaik sepanjang proses pemulihan.

Dalam perkembangan terkini, Hafizuddin sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan berada di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan hospital berkenaan.

Atlet itu dipercayai terbabas ketika menunggang motosikal kira-kira jam 11 malam sebelum mengalami kecederaan serius membabitkan bahagian kaki, bahu dan kepala.

Pemeriksaan awal turut mendapati Hafizuddin mengalami komplikasi hematoma di bahagian bahu kanan.

MSN menerima makluman berhubung kejadian itu pada jam 8 pagi hari ini sebelum Pengurus Sukan badan berkenaan hadir ke HKL bagi mendapatkan perkembangan terkini serta memastikan kebajikan atlet terbabit diberikan perhatian.

Untuk rekod, Hafizuddin sebelum ini mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih pingat emas acara angkat berat kategori 88 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan jumlah angkatan keseluruhan 345 kilogram.

Lebih membanggakan, beliau turut mencipta rekod kebangsaan baharu dalam acara snatch menerusi angkatan seberat 162 kilogram, selain memecahkan rekod temasya Sukan Komanwel bagi kategori berkenaan.

Dalam kenyataan sama, MSN turut menzahirkan harapan agar atlet itu diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian berkenaan serta dipermudahkan segala urusan rawatan.

“MSN mendoakan Hafizuddin diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini, dipermudahkan segala urusan rawatan dan pembedahan serta dikurniakan kesembuhan supaya dapat kembali pulih seperti sediakala,” menurut kenyataan itu.

Pada masa yang sama, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berharap segala urusan rawatan Hafizuddin itu dipermudahkan dan diberikan kesembuhan yang segera.

Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan Hafizuddin mendapat sokongan yang sewajarnya sepanjang menghadapi dugaan berkenaan.

“Saya secara peribadi dan bagi pihak seluruh keluarga besar PABM ingin merakamkan rasa dukacita dan simpati yang mendalam atas kejadian kemalangan yang menimpa atlet angkat berat kebangsaan, Hafizuddin Roslin atau lebih dikenali sebagai Udin, di Lebuhraya SUKE, Kuala Lumpur pada 11.28 malam, 16 November 2026,” katanya menerusi kenyataan media.

Keutamaan ketika ini adalah memastikan Hafizuddin mendapat rawatan sewajarnya sebelum memulakan proses pemulihan bagi membolehkannya kembali menjalani kehidupan seperti biasa.