Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria menerima pengiktirafan tertinggi apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Sukan Tahunan pada Anugerah SEBA 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), malam ini.
Pengiktirafan itu diberikan sebagai menghargai sumbangan serta kepimpinan beliau dalam pembangunan sukan negara dan antarabangsa, khususnya menerusi peranan aktif dalam pentadbiran serta gerakan Olimpik.
Sepanjang 2026, Norza terus memainkan peranan penting dalam landskap sukan menerusi beberapa tanggungjawab kepimpinan, termasuk sebagai Presiden MOM, Presiden Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) serta Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi zon Asia Tenggara.
Antara perkembangan penting tahun ini ialah pelantikannya sebagai anggota Lembaga Eksekutif Persatuan Sukan Perpaduan Islam (ISSA), mewakili Jawatankuasa Penganjur Sukan Perpaduan Islam Malaysia 2029. Pelantikan itu dibuat pada Perhimpunan Agung ISSA ke-15 di Taif, Arab Saudi, September lalu.
Beliau turut menerajui penganjuran Larian Hari Olimpik 2026 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada 21 Jun lalu yang menghimpunkan lebih 5,000 peserta. Program itu mencipta sejarah apabila menjadi Larian Hari Olimpik pertama anjuran MOM yang mengangkat tema kelestarian menerusi 10 inisiatif hijau, sekali gus didaftarkan dalam Malaysia Book of Records.
Dalam perkembangan sama, Norza menyumbangkan RM50,000 daripada dana peribadinya kepada UTeM bagi menubuhkan Anugerah Kecemerlangan Kejuruteraan dan Sukan, khusus untuk mengiktiraf graduan serta bakal jurutera yang cemerlang dalam akademik dan mempunyai penglibatan aktif dalam sukan.
Dalam kapasiti sebagai Presiden SEAGF, beliau turut memainkan peranan dalam persiapan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027, selain terlibat dalam usaha memperkukuh pembangunan sukan di rantau Asia Tenggara.
Penglibatan beliau dalam gerakan sukan antarabangsa turut merangkumi peranan sebagai anggota Jawatankuasa Penyelarasan OCA bagi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sekali gus memperkukuh penglibatannya dalam pentadbiran sukan di peringkat serantau.
Pengiktirafan menerusi Anugerah Ikon Sukan Tahunan SEBA 2026 itu menjadi satu lagi penghormatan buat Norza atas sumbangan berterusan beliau dalam memajukan sukan, selain memperkukuh kedudukan Malaysia dalam gerakan sukan antarabangsa.