KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mahu program elit Road to Gold (RTG) dikekalkan dalam Belanjawan 2026 bagi memastikan Malaysia terus gah di pentas Olimpik dan Paralimpik.
Menterinya, Hannah Yeoh menegaskan RTG sebagai tunjang pembangunan sukan berprestasi tinggi negara yang wajib diteruskan tanpa kompromi.
“Program ini bukti komitmen kita memastikan atlet negara kekal bersaing di tahap tertinggi, bukan sekadar jadi pelengkap jadual,” katanya di KLIA, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyambut kepulangan wira para negara dari Kejohanan Paralimpik Dunia. |FOTO KBS
Beliau berkata, KBS sudah membentangkan keperluan dan keutamaan kepada Kementerian Kewangan (MOF), termasuk bajet pembangunan atlet, belia luar bandar dan komuniti sukan.
“Kami dah senaraikan semua keutamaan, harap kerajaan beri lampu hijau untuk teruskan,” katanya, optimis.
Hannah turut menegaskan bajet tambahan perlu bagi memperkukuh pelapis, khususnya atlet para, susulan ramai atlet senior kini berada di penghujung karier.
“Ziyad Zolkefli antara contoh terbaik, dan kita perlu generasi baharu untuk teruskan legasi kemenangan,” ujarnya.
Selain RTG, KBS juga mahu kesinambungan dana sukan komuniti dan penganjuran kejohanan antarabangsa diteruskan agar Malaysia kekal sebagai kuasa sukan serantau.