Perkembangan terbaharu membabitkan Muhammad Hafizuddin Roslin menyaksikan atlet angkat negara itu telah selesai menjalani pembedahan, namun tangan kanannya terpaksa terpaksa dipotong susulan kecederaan serius.

Perkara itu dimaklumkan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat yang mengesahkan atlet berusia 22 tahun berkenaan sudah selesai menjalani pembedahan.

Menurut Ayub, keputusan untuk memotong tangan kanan Hafizuddin terpaksa dilakukan selepas salur darah dan sistem saraf pada bahagian berkenaan mengalami kerosakan sehingga tidak lagi berfungsi.

Langkah itu dibuat atas saranan pasukan perubatan bagi mengelakkan keadaan atlet yang mesra disapa Udin itu menjadi lebih serius dan memastikan nyawanya dapat diselamatkan.

Sebelum ini, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2026 itu dilaporkan terbabit dalam kemalangan motosikal apabila dipercayai terbabas sehingga mengalami kecederaan parah.

Antara kecederaan yang dialaminya termasuk patah tulang tangan kanan selain kecederaan pada bahagian bahu kanan dan kepala.

Hafizuddin kemudiannya ditidurkan bagi membolehkan rawatan intensif diberikan sebelum menjalani prosedur pembedahan oleh pasukan perubatan.

Insiden itu pastinya menjadi ujian besar buat atlet muda berkenaan yang sebelum ini mencipta kejayaan membanggakan di pentas antarabangsa.

Pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, Hafizuddin muncul juara kategori 88 kilogram lelaki menerusi jumlah angkatan keseluruhan 345 kilogram.

Beliau turut mencipta rekod kebangsaan baharu acara snatch dengan angkatan 162 kilogram, sekali gus melakar rekod baharu temasya Sukan Komanwel dalam kategori berkenaan.