Atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin tidak akan dibiarkan menghadapi ujian getir bersendirian apabila kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan sokongan menyeluruh terhadap kebajikan serta masa depannya.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, elaun latihan atlet berusia 22 tahun itu akan diteruskan seperti biasa, manakala Majlis Sukan Negara (MSN) menanggung sepenuhnya kos rawatan termasuk pembedahan, rawatan susulan dan penginapan di wad sehingga dibenarkan keluar hospital.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi Hafizuddin bersama keluarganya di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pagi ini. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KBS, Datuk Rahimi Ismail.
Menurut Taufiq, Hafizuddin yang mesra disapa Udin turut layak menerima manfaat insurans menerusi Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) yang dianggarkan bernilai RM120,000.
Selain itu, semakan awal mendapati atlet berkenaan layak menerima beberapa manfaat di bawah Skim Lindung 24 Jam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), yang mula dicarum sejak Ogos lalu.
Antara manfaat berkenaan termasuk bayaran pukal sekali gus dianggarkan sebanyak RM39,060.58 serta bayaran bulanan RM915.84 sepanjang hayat.
Hafizuddin juga layak menerima faedah cuti sakit sebanyak RM38.16 sehari tanpa had bilangan hari, selain kemudahan perubatan serta program pemulihan jasmani dan vokasional.
Bagi memastikan keluarga turut mendapat sokongan sepanjang tempoh rawatan, pihak berkaitan menyediakan kemudahan penginapan dan makanan kepada mereka ketika menemani Hafizuddin di HKL.
Taufiq turut memaklumkan bahawa sokongan terhadap atlet itu tidak terhenti setakat bantuan rawatan dan kewangan, sebaliknya perhatian jangka panjang akan diberikan membabitkan proses pemulihan, kaunseling, penyesuaian kehidupan serta peluang masa depannya.
Menerusi perkongsian di Facebook, beliau mengakui kunjungan tersebut cukup menyentuh perasaannya, apatah lagi apabila mengenangkan perjalanan Hafizuddin membina karier sebagai atlet sejak zaman persekolahan.
“Alhamdulillah, pagi ini Udin dalam keadaan baik dan semangatnya cukup kuat.
“Janji saya, Udin tak akan keseorangan,” katanya.
Terdahulu, Hafizuddin terbabit dalam kemalangan jalan raya pada Isnin malam sehingga menyebabkan tangan kanannya terpaksa dipotong menerusi prosedur amputasi bagi mengelakkan komplikasi lebih serius.