Negeri Sembilan Antlers dan ATM Guardians membuka kempen masing-masing di Grand Prix (GP) Kuala Lumpur STL Premier 2026 dengan keputusan positif selepas mencatat kemenangan dalam aksi peringkat kumpulan, hari ini.
Negeri Sembilan Antlers terlebih dahulu mencipta kemenangan apabila menewaskan Penang Black Panthers 2-0 dalam perlawanan Kumpulan A menerusi keputusan 15-12, 15-13.
Kemenangan straight set itu membolehkan Negeri Sembilan memulakan saingan GP KL dengan langkah kanan, manakala Penang masih belum menemui kemenangan dalam kempen STL Premier 2026 setakat ini.
Walaupun tewas, Penang Black Panthers memperlihatkan peningkatan prestasi berbanding penampilan mereka pada GP terdahulu, sekali gus memberikan petanda positif buat pasukan yang kini berada di kedudukan tercorot carta keseluruhan.
Cabaran lebih getir menanti Negeri Sembilan apabila dijadualkan bertemu juara GP Melaka, Melaka Titans dalam aksi kumpulan esok.

Sementara itu, ATM Guardians turut mencatat kemenangan straight set selepas menundukkan Bomba Fighters 2-0 dalam perlawanan Kumpulan C.
ATM mempamerkan aksi meyakinkan untuk mencatat kemenangan 15-6, 15-11 meskipun turun tanpa khidmat tekong kebangsaan, Fahmi Khalid.
Kekalahan itu menyaksikan Bomba Fighters perlu segera memperbaiki prestasi menjelang pertemuan menentang pendahulu carta keseluruhan STL Premier 2026, Perak Bison esok.
Perlawanan tersebut menjadi peluang penting buat Bomba untuk memburu kemenangan dan menghidupkan peluang mereka melangkah ke suku akhir GP Kuala Lumpur.