Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berharap kebajikan atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin terus diberikan perhatian sewajarnya susulan insiden kemalangan yang menyebabkan atlet muda itu kehilangan tangan kanan.
Norza berkata, keadaan yang menimpa Hafizuddin amat mendukacitakan dan berharap atlet berusia 22 tahun itu bersama keluarganya diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian berkenaan.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Belia dan Sukan serta pihak berkaitan akan memastikan kebajikan atlet berkenaan terus terpelihara.
“Sebagai Presiden MOM, saya berharap keluarga Hafizuddin terus tabah menghadapi dugaan yang amat sukar ini. Saya yakin MSN, Menteri Belia dan Sukan serta pihak lain akan memastikan kebajikannya terus terbela.
“Penting untuk kita menjaga kebajikan atlet, khususnya mereka yang telah banyak menyumbang kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima anugerah Ikon Sukan Terbaik pada Anugerah SEBA ASEAN Elite Edition 2025/2026, semalam.
Norza turut berharap Hafizuddin yang dianggap antara prospek terbaik negara dalam sukan angkat berat dapat menjalani proses pemulihan dengan baik selepas melalui detik sukar berkenaan.
Terdahulu, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat memaklumkan Hafizuddin menjalani pembedahan selama tujuh jam pada Selasa, namun doktor terpaksa melakukan amputasi tangan kanan bagi menyelamatkan nyawanya.
Selain itu, Majlis Sukan Negara sebelum ini memaklumkan atlet kelahiran Perlis tersebut turut mengalami kecederaan serius pada bahagian kaki dan kepala, selain komplikasi hematoma atau pengumpulan darah di bahu kanan.
Hafizuddin sebelum ini mencuri perhatian menerusi prestasi membanggakan dalam sukan angkat berat apabila memenangi pingat emas kategori 88 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, Julai lalu.
Kejayaan itu lebih bermakna apabila temasya berkenaan merupakan penampilan sulungnya di Sukan Komanwel, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara prospek masa depan sukan angkat berat negara.