Perak Bison mengukuhkan kedudukan sebagai pencabar utama kejuaraan STL Premier 2026 apabila menjuarai Grand Prix (GP) Kuala Lumpur selepas menundukkan PDRM Defenders 2-1 dalam aksi final malam ini.
Kemenangan itu menghadiahkan gelaran GP kedua buat Perak Bison musim ini selepas terlebih dahulu menjulang kejuaraan GP Pulau Pinang (GP 2), sekali gus menambah koleksi trofi mereka dalam kempen STL Premier 2026.
PDRM Defenders memulakan perlawanan dengan baik apabila tewas 8-15 pada set pertama, namun bangkit menguasai set kedua 15-12 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Bagaimanapun, Perak Bison kembali memperkemaskan permainan pada set ketiga sebelum menamatkan cabaran PDRM Defenders dengan kemenangan 15-11 untuk mengesahkan kejuaraan GP KL.
Perak Bison dibarisi Nazrein Daniel selaku apit kanan, Pornthep Tinbangbon di posisi tekong dan Amirul Zazwan sebagai apit kiri merangkap kapten, manakala PDRM Defenders mempertaruhkan Shahalril Aiman sebagai apit kanan, Worapat Kaewtawatwiset di posisi tekong serta Shahalril Aimin selaku apit kiri dan kapten pasukan.
Kejayaan di Kuala Lumpur turut memberikan Perak Bison kelebihan lebih besar dalam carta keseluruhan STL Premier 2026 apabila kini mengumpul 107 mata, berbanding PDRM Defenders yang berada di tangga kedua dengan 99 mata.
Jurang antara kedua-dua pasukan kini melebar kepada lapan mata, manakala Melaka Titans pula naik ke kedudukan ketiga dengan 79 mata selepas menewaskan Kelantan Warriors 2-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.
Melaka Titans membuka aksi dengan kemenangan 15-10 pada set pertama sebelum Kelantan Warriors menyamakan kedudukan menerusi kemenangan 15-10 pada set kedua, namun Melaka kembali menguasai set ketiga 15-7 untuk menamatkan saingan di tempat ketiga GP KL.