Pemain hoki kebangsaan, Shello Silverius berharap lebih ramai anak kelahiran Sabah diberi peluang menembusi skuad kebangsaan, selepas membuktikan bahawa bakat dari negeri itu mampu bersaing di pentas antarabangsa.

Pemain berusia 27 tahun itu mengakui penghijrahannya ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) di Johor ketika berusia 13 tahun menjadi titik perubahan penting dalam perjalanan kariernya, meskipun keputusan meninggalkan keluarga dan kampung halaman bukan sesuatu yang mudah.

Berasal dari Keningau, Sabah, Shello terpaksa berjauhan kira-kira 1,455 kilometer daripada keluarga demi meneruskan persekolahan menengah serta mengembangkan potensinya dalam sukan hoki. Namun, pengorbanan itu ternyata membuahkan hasil apabila beliau berkembang menjadi antara pemain penting skuad hoki negara.

Kini, selain terus memperkuatkan Speedy Tigers dalam kejohanan antarabangsa, Shello turut melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Pengurusan Tenaga di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Bangi.

 

“Saya tidak akan sampai ke tahap sekarang jika tidak mengambil langkah berani untuk ke SSTMI kerana sejak kecil lagi saya memang tertarik dengan sukan hoki.

“Saya kini menikmati kehidupan yang seimbang antara pengajian dan gelanggang hoki. Ibu bapa saya bangga dengan saya dan adik-beradik.

“Jauh di sudut hati, saya berharap lebih ramai pemain dari Sabah dapat menyertai skuad kebangsaan junior dan senior kerana negeri itu mempunyai banyak bakat,” katanya ketika ditemui pada Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-32, yang menyaksikan penampilan keempatnya bersama Speedy Tigers sejak 2022.

Minat terhadap hoki turut mengalir dalam keluarganya apabila dua adik lelakinya, Stan Ivan dan Shelston, juga aktif dalam sukan berkenaan. Shelston pernah mewakili skuad remaja negara pada Piala Asia Remaja 2026 di Hulunbuir, Mongolia Dalam, serta Piala Sultan Johor 2026.

Kedua-dua adiknya itu turut menjadi sebahagian daripada pemain Sekolah Sukan Malaysia Sabah yang menyertai kontinjen sekolah kebangsaan ke Adelaide Open di Australia bersama atlet daripada sekolah sukan Malaysia yang lain.

Shello sendiri mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama dari Sabah yang diberi kepercayaan mengetuai skuad remaja kebangsaan atau Young Tigers pada 2019 sebelum membuat penampilan antarabangsa bersama pasukan senior dua tahun kemudian.

Dengan 129 penampilan antarabangsa, beliau kini menjadi antara tonggak penting Speedy Tigers selain menjadi inspirasi kepada rakan sepasukan dan komuniti hoki di Sabah.

Selain Shello, Sabah turut diwakili Muhajir Abdu Rauf dari Keningau yang sudah mengumpul 91 penampilan antarabangsa serta pemain muda Sandakan, Andywalfian Jeffrynus, 21, dengan 40 penampilan.

Menariknya, ketiga-tiga pemain itu melalui Program Pembangunan Sekolah Sukan Sabah sebelum berjaya melangkah ke pentas tertinggi hoki negara, sekali gus membuktikan kepentingan pembangunan bakat di peringkat akar umbi dalam melahirkan lebih ramai pemain berkualiti untuk Malaysia.